SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengesahkan menerusi laman mikro Twitter miliknya sudah pun menyerahkan senarai Exco Kerajaan Negeri kepada Sultan Selangor.
"Calon-calon Exco telah dikemukakan kepada Tuanku DYMM Sultan Selangor dan saya akan menghadap Tuanku minggu depan," tulis beliau.
Abdul Khalid turut menulis, kerajaan negeri pimpinannya juga akan mengekalkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor kerana sumbangan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam hal tadbir urus di negeri ini.
"Pengalaman beliau dijangka terus main peranan penting dalam pentadbiran negeri," ujar beliau lagi.
Sementara itu, menurut sumber rapat dari pejabat Kerajaan Negeri Selangor, ini adalah kali kedua Abdul Khalid menyerahkan senarai Exco kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Senarai pertama yang diserahkan Abdul Khalid tidak mendapat perkenan baginda.
Menurut sumber terbabit, Abdul Khalid turut mengusulkan nama Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dalam senarai pertama Exco kepada Sultan Selangor, namun tidak mendapat perkenan Tuanku.
Tambahnya lagi, calon Exco dari Pas tidak menghadapi sebarang masalah dan mungkin mengekalkan portfolio masing-masing berbanding PKR dan DAP yang perlu ditukar ganti.
"Pas tak ada masalah, semua OK," katanya kepada Sinar Harian Online.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu, Pas dan DAP masing-masing menang 15 kerusi Dun berbanding PKR hanya 14 kerusi.
Melihat kepada keputusan itu, ternyata ia memberi kelebihan kepada wakil Pas dan DAP untuk dilantik sebagai Exco kerajaan pada penggal ini.
Abdul Khalid pada kelmarin telah mengadakan perbincangan pembahagian kuota jawatan Exco Kerajaan Selangor bersama pemimpin tertinggi PKR, Pas dan DAP dan dijangka akan diumumkan kelak.
Adun Meru, Dr Rani Osman; Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad dikatakan calon Exco dari Pas yang mendapat perkenan Tuanku kerana rekod prestasi yang cemerlang.
Namun dikhabarkan nasib tidak menyebelahi Adun Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dari PKR, yang nama mereka dikatakan tidak mendapat perkenan Sultan Selangor dan akan tersingkir dari Kabinet kerajaan negeri kali ini.
Bagaimanapun sumber itu berkata lagi, tidak semua calon Exco kerajaan negeri dalam senarai pertama itu ditolak oleh Tuanku termasuklah Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang dilihat berkelayakan.
Difahamkan PKR akan meletakkan tiga calonnya untuk menduduki kerusi Exco pada penggal ini.
DAP sudah mengumumkan pemilihan dua adunnya iaitu bekas Speaker yang juga Adun Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Kim dan Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah untuk mengisi kouta Exco.
Perkara ini juga dikatakan memaksa Abdul Khalid membatalkan pengumuman senarai Exco Kerajaan Negeri yang dijadualkan berlangsung dalam minggu ini.
Selain itu, Abdul Khalid juga dijadualkan akan berangkat ke luar negara pada Ahad ini bagi mendapatkan rawatan susulan ekoran kesihatannya yang terjejas sebelum PRU13.
Beliau hanya akan pulang ke tanah air pada Jumaat depan.
0 comments:
Post a Comment