Friday 4 October 2013

Pemilihan PAS Makin Panas

Berikutan kempen PAS yang semakin panas, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) mencadangkan agar pemimpin dan ahli-ahli PAS mengawal kenyataan dan ulasan mereka mengenai pemilihan PAS.

"Pada pandangan saya pemilihan parti, pimpinan utama parti tidak perlu beri ulasan lebih-lebih," katanya menerusi Facebooknya hari ini.


Pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh pimpinan PAS dan ahlinya berhubung pemilihan parti menjelang Muktamar PAS ke-59, November ini.

"Ulasan tersebut kelihatan lebih menonjol berbanding persiapan menghadapi Pilihanraya Kecil Sungai Limau pada 4 November ini.

"Keadaan ini sangat tidak baik bagi parti, tambahan pula ulasan tersebut datangnya daripada pimpinan tertinggi parti. Ulasan pimpinan tentunya akan mengundang pelbagai reaksi segera pelbagai pihak," kata Tuan Ibrahim dalam tulisannya itu.

Beliau dipercayai mengulas kenyataan yang berbalas-balas antara para pemimpin PAS sejak kebelakangan ini sehingga dilihat menimbulkan kesan negatif kepada PAS

"Saya melihat fenomena ini sebagai satu elemen negatif bagi parti kerana polimik dalaman harus ditangani dalam lingkungan adab dan akhlak jamaah yang tinggi.

"Lantaran itu disarankan agar pimpinan utama parti di semua peringkat tidak memberikan komentar samada menyokong atau sebaliknya terutama melibatkan jawatan utama parti," kata Tuan Ibrahim.

Bagi beliau, perwakilan harus diberi sepenuhnya kepercayaan bagi membuat pilihan, "ini kerana kita yakin mereka lebih tahu ke mana hala tuju parti perlu dibawa," ujarnya.

Beliau menambah, kenyataan ini tidak bermaksud mahu menyekat jalan demokrasi dalam parti, "tetapi kita harus memimpin sistem demokrasi agar tidak merosakkan ukhuwah jamaah."

Katanya, dalam keadaan media baru yang sukar dikawal, maka ulasan positif sekalipun boleh diulas dalam bentuk negatif yang akan mengundang pelbagai reaksi.

"Mari kita pelihara ukhuwah jamaah ini dengan memelihara thiqah pada pimpinan yang telah berkorban untuk jamaah selama ini, menghormati perasaan dan menghormati mereka.

"Saya yakin kita semua sayangkan jamaah ini. Cuma caranya berbeza. Ada orang sayangkan anak maka dimarah anak itu, ada yang mencubit, ada yang memukul dan ada yang memeluk dan menciumnya.

"Kalaulah anda jadi anak, cara mana yang anda suka?" soal beliau dengan penyataan “Senyum" yang menjadi trade mark kenyataan beliau sehingga menerbitkan buku ‘Senyumlah’ sebanyak dua siri sekarang.

Kempen secara rasmi dalam PAS bermula apabila Multaqa Ulama Se-Malaysia yang dianjurkan oleh Dewan Ulama PAS di Alor mencadangkan agar presiden dan timbalan presiden PAS dipilih di kalangan ulama.

Sebelum itu, kempen-kempen sudah berjalan dalam media sosial dan menerusi laman-laman web. Padahal ketika ini, timbalan presiden PAS bukanlah ulama.

Ekoran cadangan ulama itu, pihak yang bukan ulama dalam PAS mula menjalankan kempen mereka menerusi pelbagai program yang mereka anjurkan dan wawancara dengan media.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP