Monday, 13 May 2013

"Saya malu jadi Melayu yang berdendam kesumat macam bekas hakim ..."

Bila saya membaca laporan Malaysiakini tentang kenyataan bekas hakim mahkamah rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah, seperti disiarkan Malaysiakini, saya termenung sebentar

"Pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setia kawan orang Melayu itu adalah benar oleh kerana mereka merancang untuk merampas kuasa politik setelah membolot kuasa ekonomi," kata Mohd Noor dalam satu seminar berkaitan keputusan PRU13. ... Bagi orang Melayu, pantang larangnya, jangan dikhianati orang Melayu. Oleh kerana orang Melayu bila dikhianati, dia membalas dendam kesumatnya tak sudah-sudah," tambahnya.


Mengapa perlu dibakar sentimen perkauman, dengan cara yang cukup berbahaya, hanya kerana majoriti pengundi Cina menggunakan hak mereka untuk membuat pilihan dalam PRU13 lepas.

Dalam Buletin Utama TV3, saya nampak ada satu himpunan di Kedah, kalau tak silap pasang sepanduk, yang menyeru "beli di kedai India dan Melayui sahaja". Apa sudah jadi ini? Kenapa sampai provokasi sejauh itu, dan membabitkan anak-anak muda pula ...

Mengapa Malaysia -- di ambang menjadi negara maju -- bukan saja mundur jauh ke belakang, tetapi menjadi begitu primitif dan tidak bertamadun? Sesungguhnya, perbedaan kaum, agama, budaya dan latarbelakang adalah kekuatan negara, bukannya padah yang menanti musibah.

Semua kita bersaudara, berteduh hidup di bawah langit yang sama, saling memperkuatkan yang lemah dan terpinggir, menentang elit penguasa yang korup dan curang, bersedia berbeda pandangan politik, tetapi cara media, individu dan kumpulan tertentu mengulas result PRU13 begitu dahsyat dan menggerunkan. Ahad 5 Mei bukan kiamat untuk kita -- sama ada Pakatan mahupun BN-- , 'kan?

Maaf, jika itulah Melayu, seperti digambarkan bekas hakim mahkamah rayuan, penuh dendam kesumat, saya malu menjadi Melayu seperti itu.

Hak mengundi dalam sebuah negara demokratik adalah terjamin dalam Perlembagaan. Pengundi Cina begitu lama menyokong BN dan Perikatan, malah terbukti mempertahankan Umno-BN ketika majoriti pengundi Melayu bangun protes secara terbuka kepada Dr Mahathir dan BN pada 1999.

Tolonglah ... BN masih berkuasa, kawan-kawanku dalam Umno ... ruang dan peluang anda masih ada untuk menarik balik sokongan itu, tetapi hanya kerana terusik sokongan mereka, sudah terzahir belang perkauman yang cukup membimbangkan ....

Anda sudah bersama rakan-rakan MCA, MIC dan sepuluh lagi kerabat BN untuk jangka masa yang lama, apakah selama ini hubungan dalam BN begitu rapuh dan penuh hipokrit?

Apakah sekiranya masyarakat Bumiputera Islam dan Kadazan di Sabah atau bersama Dayak di Sarawak menyokong Pakatan dalam PRU13 yang lalu, maka mereka juga dituduh khianat dan mahu dimusuhi serta diungkit segala macam "keistimewaan dan bantuan" yang anda berikan?

Dangkal sungguh permaina politik seumpama ini ....

Hentikan segera curahan minyak ke atas api persengketaan yang cuba dimarakkan secara sistematik dan disokong aparat penguasa ini. terima kasih

- AHMAD LUTFI OTHMAN


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP