Seorang penjenayah, yang ditahan selepas merempuh kereta peronda polis, Ahad lepas, melarikan diri ketika dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hulu Terengganu, semalam.
Suspek, Mohd Alaudin Hasan, 30, yang dipercayai terbabit dalam kes curi kenderaan, meloloskan diri sebaik gari dibuka untuk proses rakaman cap jari di bilik Pusat Identifikasi Forensik Setempat (PIFOS).
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata suspek keluar dari bilik PIFOS dan meluru ke arah sebuah kereta Proton Satria berwarna biru yang dipandu seorang lelaki bersama seorang wanita yang menunggu berhampiran lokasi itu.
"Kereta tersebut terus memecut laju menghala ke arah Ajil dengan suspek yang berasal dari Felda Neram memakai baju lokap berwarna ungu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu semalam.
Berikutan insiden itu, polis berjaya menahan pemandu kereta dan isteri suspek di sebuah inap desa di Bukit Besi, Dungun, kira-kira pukul 5 petang, katanya.
Rosli berkata polis telah melancarkan 'Op Tutup' bagi mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat dan mengenali suspek supaya menghubungi balai polis berhampiran.
Sementara itu, 10 minit sebelum insiden itu, seorang lagi suspek kes ragut dan dadah berusia 28 tahun turut melarikan diri semasa turun dari lori polis di perkarangan Mahkamah Majistret, Kemaman, pada pukul 9.30 pagi.
Semasa proses menurunkan kesemua Orang Kena Tuduh (OKT) dari kenderaan polis untuk dibawa ke lokap mahkamah, suspek dalam keadaan bergari melepaskan diri dan berlari ke arah bandar Chukai, katanya.
"Anggota polis cuba mengejar suspek namun gagal," katanya.
Bagaimanapun, katanya, selepas hampir enam jam menyembunyikan diri, suspek tampil bersama kakaknya ke IPD Kemaman untuk menyerah diri pada pukul 3.10 petang.
-Bernama
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment