PETALING JAYA: Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman kini berhadapan situasi sukar untuk melaksanakan tugas selaku Menteri Besar Terengganu susulan tindakannya yang dikatakan telah menyebabkan pihak istana negeri itu murka.
Situasi itu tercetus Jumaat lalu ketika Ahmad Razif mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menunaikan solat Jumaat.
Ia dikatakan melibatkan isu pengumuman jumlah sumbangan menerusi program yayasan yang berkait rapat dengan pihak istana negeri.
Susulan itu, pihak istana dikhabarkan menarik balik semua gelaran kebesaran yang dikurniakan kepada Ahli Dewan Undangan (Adun) Seberang Takir itu.
Sumber memberitahu mStar Online, insiden pada Jumaat lalu yang disebarkan menerusi media sosial sememangnya berlaku dan kini menunggu pengesahan pihak Istana Terengganu.
"Dalam keadaan sekarang, susah untuk Ahmad Razif jalankan tugas selaku MB kerana tiap minggu dia perlu menghadap Sultan Mizan untuk memaklumkan perkembangan mesyuarat Exco terutama keputusan yang dibuat dan membincangkan hal pentadbiran negeri.
"Kalau Ahmad Razif kekal sebagai MB, rasanya payah. Mungkin tak lama lagi akan ada perubahan kepimpinan negeri, cuma tak pasti melalui kaedah mana, sama ada pilihan raya atau kerajaan perpaduan," katanya ketika dihubungi di Terengganu.
Desas-desus yang tersebar bagaikan diiyakan apabila pengacara pada beberapa program yang dihadiri Ahmad Razif hanya mengumumkan kehadirannya dengan menyebut jawatan beliau tanpa gelaran Datuk Seri.
Kata sumber itu, perjumpaan dengan semua Adun Barisan Nasional (BN) akan berlangsung Ahad malam bagi memberi penjelasan berhubung situasi terkini melibatkan Ahmad Razif dan pihak istana.
Tambahnya lagi, situasi terkini tentunya memberi ruang untuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said untuk terus mengatur langkah bagi memastikan Ahmad Razif tidak akan kekal mengisi jawatan itu.
Bagaimanapun, katanya, semuanya mungkin akan ditangani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bulan depan.
Mengikut rekod, Umno mempunyai 17 Adun di Terengganu manakala PAS (14) dan PKR (1).
Pada 8 Mac lalu, Ahmad Said yang juga Adun Kijal membuat usul tidak percaya kepada Ahmad Razif pada sidang Dewan Undangan Negeri, namun ditolak Speaker, Datuk Mohd Zubir Embong.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment