Sunday, 1 May 2016

Usul Pecat Umno: Apalah Nasib Saya, Kata Muhyiddin



Timbalan Presiden Umno yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau sendiri tidak tahu bagaimana nasibnya selepas ini ketika ada pihak dikatakan cuba mengemukakan usul untuk memecat beliau daripada Umno.

"Ada orang usulkan nama saya untuk dipecat dan saya pun tak tahu apa nasib saya selepas ini," kata Muhyiddin.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata demikian ketika menjawab soalan salah seorang peserta Dialog generasi muda: Integriti dan masa depan di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini.

Menteri Pelancongan yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz kelmarin berkata beliau berhasrat untuk mengemukakan usul pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz daripada Umno pada mesyuarat parti itu akan datang yang dijadualkan selepas pilihan raya negeri Sarawak Ke-11.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam reaksi balasnya berkata, anggota MT Umno berhak menyuarakan pandangan dan mengemukakan usul pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz.

Ab Rauf berkata, pandangan berkenaan juga selaras dengan rasa hormat ahli-ahli MT terhadap kepimpinan institusi Umno yang menerima pelbagai tohmahan dan fitnah yang menjejas reputasi parti itu.

Sementara itu, Muhyiddin ketika diminta mengulas pilihan raya negeri Sarawak, ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau tidak mahu bercakap langsung mengenainya.

"Saya tak mahu bercakap langsung," katanya ringkas sebelum berlalu pergi meninggal media.

Kempen pilihan raya negeri Sarawak masuk hari ketujuh hari ini.

Baki kempen kini tinggal enam hari lagi sebelum pengundian 7 Mei ini.

Pada pilihan raya negeri kali ini sebanyak 82 kerusi DUN dipertandingkan termasuk 11 kerusi baru.

BN menang tanpa bertanding di dua kerusi pada hari penamaan calon 25 April lalu.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP