Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Nazri Aziz berkata, khidmat polis pengiring bermotosikal untuk Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya ditarik balik sejak dulu lagi.
Kata Nazri, khidmat kawalan itu tidak wajar diberikan kepada bekas perdana menteri terbabit kerana tokoh berkenaan diiringi ke majlis memburuk-burukkan kerajaan.
“Tindakan menarik balik escort(polis pengiring) Tun M bukan keputusan yang mengejutkan kerana dia tidak bersikap sebagai seorang idealistic man," katanya.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, khidmat kawalan pengiring itu sepatutnya diberikan untuk menjaga keselamatan Mahathir.
Bagaimanapun kata Nazri, beliau beranggapan Mahathir "memilih untuk membahayakan diri" beliau.
Bahaya itu pula, kata Nazri, ditempah oleh Mahathir sendiri.
"Saya rasa tidak kena (sesuai) berikan dia escort kerana dia hentam kerajaan yang memberikan dia kemudahan ini.
"Saya rasa keputusan ini (menamatkan khidmat polis pengiring) sepatutnya sudah lama dibuat,” katanya.
Nazri ditemui media di Sekolah Kebangsaan Kampung Buntal, Kuching.
Sebelum ini, wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin menerusi blognya berkata khidmat pengiring polis bermotosikal Mahathir ditarik balik.
Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia paling lama berkhidmat, diberikan keistimewaan itu selepas beliau meletak jawatan pada 2003.
Cadang tendang naib ketua bahagian
Mahathir juga menjadi antara individu yang paling lantang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan secara terbuka - dan berkali-kali - selain mendesaknya meletak jawatan.
Sementara itu Nazri berkata Naib Ketua Umno Bahagian Kota Raja Hamidi Abu Bakar boleh mengikut jejak tiga 'pemberontak' parti, iaitu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Katanya, beliau boleh meminta seseorang dalam Umno untuk mencadangkan supaya Hamidi turut "ditendang" daripada parti.
“Pergilah sertai mereka, saya cabar dia untuk menyertai mereka (kumpulan penentang perdana menteri), dan lihat sama ada ia akan bawa malapetaka atau tidak,” katanya.
Nazri mengulas kenyataan dibuat Hamidi sebelum ini yang menjangkakan Umno bakal ditimpa malapetaka jika 'pemberontak' parti berkenan dipecat.
Tidak seperti Mahathir, Muhyiddin, Mohd Shafie dan Mukhriz masih menjadi ahli Umno walaupun lantang menentang Datuk Seri Najib Razak.
Mahathir tidak dipecat daripada Umno sebaliknya mengumumkan keluar dari parti itu Februari lalu.
Nazri sebelum ini berhasrat untuk mengemukakan usul supaya Muhyiddin dan Mukhriz dipecat daripada Umno pada mesyuarat MT parti selepas pilihan raya Sarawak.
Nazri turut berkata, Mohd Shafie yang sebelum ini tidak melanggar mana-mana peraturan Umno, dilihat melampaui batas apabila menghadiri program "Bicara Isu Semasa" bersama-sama Mahathir di Jitra, Kedah.
Kata Nazri, Mahathir sekarang berada di pihak pembangkang dan menunjukkan Mohd Shafie juga sudah melampaui batas dan akan ditendang keluar dari Umno.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment