Monday, 13 May 2013

Abdul Ghani jadi mangsa perebutan kuasa dalam UMNO Johor

NUSAJAYA, 13 MEI: Penolakan cadangan supaya bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dilantik senator untuk membolehkan beliau menjadi menteri telah mengesahkan apa yang disyaki selama ini bahawa Abdul Ghani menjadi ‘mangsa’ perebutan kuasa dalam UMNO, terutama di Johor.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, selain mahu menjadikan Gelang Patah ‘kubur’ bagi karier politik beliau seperti yang dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Abdul Ghani juga dipaksa bertanding di Gelang Patah bagi menamatkan karier politiknya sekiranya gagal.


Katanya, setakat ini bukan saja pemimpin UMNO/BN diam membisu terhadap cadangan itu malah Persatuan Bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (MUBARAK) seperti secara rasmi menolak apabila mengeluarkan kenyataan bahawa mereka yang kalah pada Pilihan Raya Umum kali ini tidak sepatutnya dilantik menjadi Senator atau Menteri.

“Kenyataan Presiden MUBARAK, Tan Sri Abdul Aziz Rahman itu sudah tentu merujuk kepada Abdul Ghani kerana saya secara khusus mencadangkan Abdul Ghani dilantik Senator dan dijadikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam Unit Perancang Ekonomi bagi menggantikan Nor Mohamad Yakcop.

“Semua cawangan dan bahagian serta pemimpin UMNO di Johor juga sepatutnya mengisytiharkan mereka menyokong supaya Abdul Ghani dilantik senator,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran PRU-13 di Taman Puteri Utama, Nusajaya, di sini, petang semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, pertempuran Gelang Patah tidak pernah menjadi pertempuran peribadi antara beliau dan Abdul Ghani kerana secara terbuka mengakui sumbangan Abdul Ghani dalam membangun dan memajukan Johor selama 18 tahun menjadi Menteri Besar.

Menurutnya, atas alasan itu beliau mencadangkan Abdul Ghani walaupun kalah di Gelang Patah, tetapi boleh terus berkhidmat untuk negara dengan melantiknya Senator dan Menteri, kerana pertempuran Gelang Patah tidak sepatutnya dianggap pertempuran kalah mati yang mana Abdul Ghani perlu menamatkan karier politiknya meskipun tewas di Gelang Patah.

“Ini bermakna kami di dalam DAP dan Pakatan Rakyat lebih bersedia memperakui bakat tanpa mengira parti namun UMNO/BN tidak begitu.

“Saya tidak faham atau bersetuju dengan sikap bahawa Abdul Ghani sepatutnya diketepikan hanya kerana kekalahannya di Gelang Patah sebab itu menyeru UMNO Johor mengisytiharkan sokongan mereka kepada Abdul Ghani dilantik sebagai Senator dan menteri,” katanya.

-Roketkini.com


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP