Friday, 17 January 2014

Anwar ulas '40 perkataan larangan' di P Pinang

Walaupun Pengerusi DAP, Karpal Singh menggesa kerajaan Pulau Pinang supaya mendapatkan nasihat undang-undang mengenai penggunaan kalimah 'Allah' oleh bukan Islam di negeri itu sebelum sabitan berlaku, tetapi pemimpin kerajaan negeri berdiam diri berhubung perkara itu.

Di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004, bukan Islam dilarang menggunakan 40 perkataan, termasuk kalimah 'Allah'.


Sabitan di bawah Enakmen tersebut membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tiada peluang untuk bertanya Ketua Menteri Lim Guan Eng manakala emel oleh seorang wartawan mengenai isu itu tidak dijawab.

Malah Exco Hal Ehwal Islam Negeri, Abdul Malik Kassim enggan mengulas.

Apabila ditanya hari ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, "Bukan saya mempertahankan Guan Eng.

"Tetapi jika beliau menyebut perkataan yang salah, beliau akan diserang oleh seluruh media BN," kata Anwar ketika ditemui di Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

Ketika diminta mengulas mengenai enakmen itu, yang dikuatkuasakan pada 2010 walaupun belum ada sabitan sehingga ini, Anwar berkata: "Selesaikan isu 'Allah' dahulu."

Beliau  juga menegaskan bahawa mesti ada rasa hormat dan persefahaman antara semua kaum berhubung isu tersebut.

Apabila terus ditanya mengenainya, Anwar berkata enakmen itu, termasuk berkaitan penggunaan kalimah 'Allah', tidak pernah menjadi satu masalah.

Bagi menguatkuasakan undang-undang seperti itu, Anwar berkata jabatan agama perlu mempunyai kes dan hujah yang kukuh sebelum mengambil tindakan.

Terus terang, katanya, ia tidak menjadi satu masalah, sebaliknya ia telah digunakan dan dieksploitasi oleh kuasa Umno untuk mengalih perhatian dari isu-isu teras ekonomi, rasuah dan salah urus negara.

"Kita perlu memastikan tiada sesiapa pun menggunakan undang-undang ini untuk menindas orang lain," katanya.

Anwar merujuk kepada serbuan kontroversi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Persatuan Bible Malaysia, dan merampas 300 Bible bahasa Melayu dan Iban manakala dua kakitangan persatuan itu ditahan tetapi kemudiannya dibebaskan oleh polis.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP