Harga barang naik: Bekas bos NST dakwa pemimpin persenda rakyat ‘cetek akal’
Kadir kesal kerana ada pemimpin yang tidak sensitif dengan perasaan rakyat yang terpaksa bergelut dengan kenaikan kos sara hidup. – Gambar The Malaysian Insider.
Kadir kesan kerana ada pemimpin yang tidak sensitif dengan perasaan rakyat yang terpaksa bergelut dengan kenaikan kos sara hidup. – Gambar The Malaysian Insider.
Datuk A Kadir Jasin menyifatkan pemimpin yang mempersendakan kesulitan rakyat dalam berdepan dengan kenaikan harga barang sebagai "cetek akal".
Tanpa menamakan individu tertentu secara spesifik, bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press itu menegaskan, isu kenaikan harga adalah suatu yang serius dan sesuatu realiti dihadapi rakyat bawahan ketika ini.
"Kenaikan harga adalah suatu yang sangat serius, sesiapa yang mempersendakannya adalah cetek akal.
"Kenyataan sesetengah pemimpin tentang kenaikan harga, sesiapa yang mempersendakannya adalah berfikiran cetek," kata Kadir kepada The Malaysian Insider bagi mengulas isu kenaikan harga barang yang menjadi keluhan rakyat.
Isu kenaikan harga barang tidak terbendung susulan pengurangan subsidi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pengumuman kenaikkan tarif elektrik berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima kritikan keras daripada rakyat dan pemimpin parti sendiri ekoran keputusan tidak popular itu yang dilakukan secara drastik.
Program Rasionalisasi Subsidi yang dilakukan pentadbiran Najib didakwa meningkatkan kos sara hidup dengan peningkatan kos bahan api, kenaikan tarif elektrik, dan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa pada April 2015.
Secara tidak langsung mengakui tekanan yang dihadapi kerajaan, Najib selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat mengumumkan peruntukan RM20 juta bertujuan menstabilkan harga barang di pasaran.
"Adakah jumlah peruntukan 20 juta itu memadai untuk menstabilkan kenaikan harga barang yang begitu meluas?
"Saya ingat satu hari rakyat Malaysia membelanjakan berbilion untuk beli minyak, beli makanan, bayar bil elektrik dan bayar tol. Jadi, adakah 20 juta itu memadai?" soal Kadir mengulas tentang peruntukan yang diumumkan Najib itu.
Kadir turut menggesa kerajaan supaya bertegas dalam isu kenaikan harga barang dengan mengenakan hukuman lebih berat.
"Tak cukup dengan menyeret peniaga ke mahkamah kerana proses ini mengambil masa yang agak panjang.
"Lebih berkesan jika perniagaan mereka ditutup ataupun disita jika mereka didapati membuat keuntungan berlebihan dan menyorok barang," katanya.
Dalam pada itu wartawan veteran itu juga mahu kerajaan sedia ada mementingkan hak rakyat dan bukannya bersikap seperti kerajaan sepenuh masa dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan.
"Malah saya berasa Umno wajib bercakap bagi pihak rakyat dan jangan hanya bercakap seolah-olah Umno adalah kerajaan sepenuh masa.
"Umno bermula daripada rakyat, maka Umno wajib ambil berat tentang hak rakyat," katanya.
Kadar inflasi di Malaysia melonjak daripada 2.9% pada November kepada 3.2% pada Disember 2013, berpunca daripada pengurangan subsidi dan dijangka meningkat pada tahun 2014.
Kadar tersebut adalah yang tertinggi sejak November 2011, purata peningkatan setiap tahun inflasi naik daripada 1.9% pada November kepada 2.1% pada Disember.
Kenaikan harga bahan api, tarif elektrik, air dan gula, antara lain mewujudkan kesan domino yang menyebabkan harga barang-barang lain turut meningkat.
Putrajaya juga sebelum ini mengumumkan beberapa langkah pengurangan penjimatan susulan kritikan tidak berjimat ketika rakyat dibebani dengan kenaikan harga barang.
Di antaranya adalah mengurangkan elaun hiburan dan perjalanan menteri serta pegawai kanan kerajaan selain membekukan pengubahsuaian pejabat. – tmi
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment