Tuesday, 7 January 2014

Gempar - 60 Polis KL Disiasat Dalam Ops Anti-Rasuah Terbesar

Aduan yang dibuat oleh anggota polis yang tidak puas hati dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enam bulan lalu menghasilkan penyiasatan ke atas kira-kira 60 anggota polis yang dipercayai terlibat dalam pengubahan wang haram dan rasuah.

Operasi anti-rasuah, salah satu yang terbesar sejak kebelakangan ini, adalah usaha bersama antara SPRM, Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.


Seorang pegawai kanan SPRM memberitahu The Malaysian Insider, semua yang terlibat adalah anggota polis yang berpangkalan di Kuala Lumpur, dan mereka disyaki menerima rasuah daripada pengendali perniagaan haram di ibu negara.

Perniagaan ini adalah daripada perjudian di kafe siber, rumah urut dan sarang pelacuran, kata pegawai itu.

Bergantung kepada jenis perniagaan, setiap pengendali menyumbang antara RM10,000 dan RM50,000 sebulan kepada anggota polis untuk mengelakkan pusat kegiatan mereka dirampas dan diganggu, katanya.

Pergerakan anggota polis penyangak ini juga sangat tersusun di mana setiap yang terlibat mempunyai kawasan tersendiri untuk mengutip bayaran bulanan.

"Setelah semua yuran dikutip, ia akan diagihkan berdasarkan ahli kanan dan polis berpangkat tertinggi mendapat bahagian terbesar," kata pegawai SPRM itu.

Beliau mendedahkan bahawa anggota polis yang tidak puas hati menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menerima rasuah bulanan sebelum ini dan mereka berada di bawah seorang pegawai polis berpangkat 'Datuk'.

Pegawai polis berpangkat 'Datuk' ini dipindahkan ke urusetia polis di Bukit Aman bagi membolehkan siasatan ke atas aktivitinya selama ini.

Katanya lagi, anggota polis itu mendedahkan lingkaran kegiatan ini apabila dia tidak berpuas hati dengan ganjaran bulanannya.

"Dia mahu lebih dan apabila dia tidak menerimanya, dia mendedahkan kegiatan ini," kata pegawai SPRM itu.

Datuk ini pada mulanya dipanggil oleh SPRM, yang kemudiannya menemui lebih daripada RM6 juta dalam pelbagai akaun.

Bagaimanapun, pegawai SPRM itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa RM6 juta itu hanya sebahagian kecil daripada jumlah yang sebenarnya.

Selepas siasatan diteruskan, SPRM merampas kenderaan mewah seperti Range Rover Evoque (RM400,000), Nissan Skyline (RM388,000), Toyota Vellfire (RM450,000), BMW 7-siri (RM800,000) dan Mercedes-Benz E-class (RM400,000) daripada suspek.

SPRM juga mendapati anggota polis ini menubuhkan pelbagai syarikat palsu, dengan menamakan ahli keluarga mereka dan saudara-mara sebagai proksi pengarah.

Syarikat ini menggunakan dana haram tersebut untuk membeli pelbagai hartanah, termasuk rumah kedai dan kondominium.

Setelah dijejaki pelbagai syarikat palsu ini, SPRM menemui semuanya membawa kembali kepada anggota polis berpangkat 'datuk' itu.

Selain hartanah dan kenderaan mewah, polis turut merampas sejumlah besar wang tunai, barang kemas dan emas daripada beberapa anggota polis itu.

"Serbuan serentak telah dijalankan di rumah semua suspek. Pemeriksaan latar belakang yang menyeluruh telah dijalankan ke atas setiap anggota polis yang rumahnya diserbu," kata pegawai SPRM itu.

"Akaun bank mereka telah diteliti, termasuk urus niaga di tahun kebelakangan ini, semua hartanah yang mempunyai nama mereka atau ahli keluarga mereka, pinjaman, lawatan ke luar negara, perbelanjaan bulanan dan tahunan mereka dan kawan-kawan rapat mereka semuanya disiasat."

Tidak mahu mengulas lanjut mengenai jenis hartanah yang dibeli oleh polis ini dengan menggunakan syarikat palsu ini, pegawai itu berkata majoriti hartanah terletak di Lembah Klang dengan nilai berjumlah berpuluh-puluh juta ringgit.

"Anggota polis dari Kuala Lumpur yang dipindahkan ke tempat lain akan terus menerima bahagian mereka daripada rasuah itu untuk memastikan mereka menjaga kepentingan bersama. Bahagian mereka akan dimasukkan ke dalam 'gaji' bulanan dengan baik."

Pegawai itu mendedahkan, SPRM sedang mempersiapkan kes terhadap anggota polis ini dan siasatan itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu.

Dalam pada itu, Bukit Aman dijangka mengumumkan perpindahan besar-besaran anggotanya yang melibatkan pegawai kanan polis.

Ianya tidak jelas sama ada berkaitan dengan siasatan ini atau salah satu cubaan untuk mengalihkan perhatian awam daripada operasi anti-rasuah. -TMI


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP