Saturday, 25 January 2014

Kecewa Guru Lakukan Anak Macam Lembu

SUNGKAI - Dua ibu murid Tahun Empat di sebuah sekolah aliran Cina di sini kecewa dan sedih dengan cara seorang guru lelaki mendenda anak mereka kerana tidak membuat kerja sekolah pada Khamis lepas.

Mereka mendakwa guru berusia 26 tahun itu mengalungkan loceng di leher anak lelaki masing-masing dan diberi makan rumput serta dipanggil 'lembu'.


Yarnis Kasuma Dewi Zainal Aripin, 32, berkata beliau diberitahu oleh rakan anaknya bahawa guru itu turut merakam gambar anaknya dalam keadaan demikian menggunakan telefon bimbit serta menunjukkan gambar itu kepada murid-murid di kelas lain sambil mengugut akan memuat naik gambar itu dalam laman sosial Facebook.

Katanya beliau amat sedih, kecewa dan sakit hati apabila mengetahui perkara itu dan akibat kejadian itu, anak lelakinya mengalami fobia dan takut untuk ke sekolah semalam, katanya kepada pemberita di kawasan Surau Awamiah, Taman Permai di sini, hari ini.

Siti Aisyah Hashim, 32, pula berkata mereka telah mengadakan pertemuan dengan guru itu dan guru besar sekolah berkenaan di Balai Polis Sungkai petang semalam bagi menyelesaikan perkara itu.

Dalam pertemuan itu, katanya guru berkenaan hanya memohon maaf dan terus beredar dari balai polis sebaik pertemuan itu selesai dan beliau menganggap permohonan maaf guru itu tidak ikhlas.

Sementara itu, seorang daripada murid itu berkata mereka tidak disuruh memakan rumput yang diberikan dalam kejadian pada 9 pagi itu tetapi diberi amaran supaya tidak menanggalkan loceng itu sehingga 1.30 petang, jika tidak mahu dirotan sebanyak 10 kali.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw mengesahkan bahawa Yarni telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Siasatan polis dibuat dengan memanggil kedua-dua pihak dan murid terbabit.

Perjumpaan dihadiri Guru Besar sekolah berkenaan dan pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang.

"Hasil perbincangan mendapati guru itu mengaku melakukan perkara itu tetapi menafikan memberi mereka makan rumput," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Som Sak berkata guru itu mengambil tindakan demikian kerana kedua-dua murid berkenaan tidak menyiapkan kerja rumah bahasa Inggeris sejak dua minggu lepas.

Dalam laporan polisnya di Balai Polis Sungkai pada 1.20 petang semalam, Yarni Kasuma mendakwa anaknya bersama-sama seorang lagi rakan kelas telah didenda memakai loceng di leher semasa murid lain menikmati waktu rehat.- Bernama


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP