Sunday, 26 January 2014

Provokasi Kalimah Allah Di Pulau Pinang



KEPALA BATAS - Umno Pulau Pinang menyifatkan tindakan menggantung kain rentang berbaur provokasi berhubung kalimah ALLAH di beberapa kawasan di Pulau Pinang hari ini adalah cubaan untuk mewujudkan keresahan dan ketegangan antara agama di negeri ini.

Sambil mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata pihaknya percaya kain rentang itu adalah tindakan provokatif paling tinggi dan sangat biadap.

"Kami mengambil ketetapan bahawa perbuatan itu dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang ingin timbulkan suasana tidak sihat di negeri ini.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu dan Pemuda Umno telah membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Perhimpunan Umno Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden penggantungan kain rentang berbaur provokasi berhubung kalimah ALLAH di beberapa pagar gereja di kawasan pulau di negeri ini.

Difahamkan kain rentang yang bertulis 'ALLAH is Great (ALLAH Maha Besar), Jesus is the son of ALLAH' (Jesus adalah anak lelaki ALLAH) digantung di luar pekarangan gereja di Lebuh Farquhar, Sungai Pinang, Pulau Tikus dan Gelugor, dekat sini.

Berikutan kejadian itu, Zainal Abidin berkata orang Islam dan Kristian di negeri ini diminta bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan melulu atau marah sebagai reaksi kepada tindakan itu.

"Kita biarkan polis menyiasat secara terperinci dan ambil tindakan terhadap pihak yang begitu biadap bertindak sedemikian," katanya. - Bernama


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP