Tuesday, 28 January 2014

Satu kejutan kalau Anwar jadi MB Selangor

SEKIRANYA tepat ramalan media massa mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Kajang dan seterusnya mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor, implikasinya sangat menarik.

Hal ini menjadi bahan spekulasi hangat berikutan pertemuan panjang (dikatakan empat jam) antara Anwar dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan peletakan jawatan bekas Adun PKR Kajang, Lee Chin Cheh.


Saya menganggapnya sebagai sesuatu yang memeranjatkan dan mungkin tidak semestinnya baik bagi Anwar, PKR dan PR. Pandangan lanjut saya seperti berikut:

1. Akhirnya Anwar terpaksa mengaku bahawa krisis kepemimpinan Kerajaan Selangor yang berpunca daripada perebutan kuasa antara Abdul Khalid dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, sudah sampai ke peringkat hidup mati.

2. Krisis itu mungkin tidak meruntuhkan kerajaan PR Selangor, tetapi akan melemahkannya.

3. Ia akan melemahkan kedudukan PKR sebagai perantara PR dan menyebabkan DAP dan Pas memikirkan semula pergantungan mereka kepada PKR sebagai perunding.

4. Walaupun Anwar sangat akrab dengan Azmin dan percaya kepadanya, namun beliau tidak dapat memberikan jawatan MB kepada Azmin selagi Abdul Khalid ada dalam Dun.

5. Walaupun Azmin adalah Timbalan Presiden yang telah bersama Anwar hampir tiga dekad, namun dalam parti beliau mempunyai musuh dan Abdul Khalid ada pengikutnya sendiri.

6. Di kalangan Adun dari PKR, DAP dan Pas, sokongan terhadap Azmin berbelah bagi. Mungkin lebih ramai memihak kepada Abdul Khalid, khasnya di kalangan Adun DAP.

7. Bagi Anwar pula, sekiranya beliau mengambil langkah luar biasa itu, matlamatnya tentulah bagi menyelamatkan kerajaan PR Selangor dan menyekat perebutan kuasa antara Abdul Khalid dan Azmin di Selangor daripada merebak ke peringkat nasional.

8. Di segi imej, Anwar membuat pengorbanan besar kerana matlamat beliau selama ini – bermula dengan penyertaannya dalam Umno pada tahun 1982 – adalah menjadi Perdana Menteri.

9. Antara menjadi PM dengan MB Selangor, bezanya sangat besar dan mungkin mencetuskan banyak reaksi negatif. Antaranya ialah beliau bukan kelahiran Selangor dan usianya (66 tahun) adalah agak lanjut bagi seorang MB.

10. Beliau pasti dituduh oleh musuh-musuhnya sebagai telah mengaku kalah dan tidak yakin lagi boleh menjadi PM.

11. Sebaliknya, dengan PRU masih jauh (kira-kira empat tahun setengah), Anwar mempunyai masa bagi membuktikan kemampuannya mentadbir dan ini boleh menjadi modal untuk PRU.

12. Dan Anwar tentu sedar bahawa ada seakan-akan satu sumpahan ke atas jawatan MB Selangor. Boleh kata tidak ada MB Selangor yang tidak dilanda masalah, kontroversi dan penghinaan.

Wallahualam.

Dipetik daripada blog A Kadir Jasin


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP