Tuesday, 21 January 2014

Wisma Putra urus isu penjagaan 4 beradik di Sweden

Kementerian Luar sedang berusaha mendapatkan kelulusan bagi penjagaan sementara empat orang anak pasangan Malaysia, yang ditahan reman oleh pihak berkuasa Sweden, untuk dipindahkan
daripada keluarga angkat tempatan kepada keluarga Muslim Malaysia di Sweden.
    
Kementerian itu dalam kenyataan malam tadi menyatakan ia memandang serius penahanan pasangan warga Malaysia itu dan telah memohon supaya satu pasukan undang-undang kerajaan Malaysia menjadi peguam pemerhati semasa perbicaraan mereka.
    

"Sejak hari pertama penahanan (mereka), kementerian menerusi Kedutaan Malaysia di Stockholm, telah terlibat sepenuhnya dalam memberikan pelbagai bantuan kepada pasangan yang didakwa itu," kata Wisma Putra.
    
Menerusi saluran diplomatik, Kementerian Luar menyatakan ia telah beberapa kali mengeluarkan Nota Diplomatik daripada kerajaan Malaysia kepada kerajaan Sweden bagi memohon perhatian dan pertimbangan baik pihaknya.
    
Duta Besar Malaysia ke Sweden juga telah menemui peringkat tertinggi pihak berkuasa negara itu berhubung perkara berkenaan.

Pasangan Malaysia itu ditahan pada 18 Disember lepas bagi membantu siasatan selepas didakwa memukul tangan seorang daripada empat anak mereka kerana tidak bersolat.
    
Wisma Putra berkata penahanan reman berterusan pasangan itu telah menimbulkan rasa kebimbangan dalam kalangan masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi kes itu berpanjangan sehingga hari ini.
    
Kementerian memberi jaminan bahawa ia akan menggerakkan semua langkah yang ada bagi memastikan kes itu dapat diselesaikan dengan lancar dalam masa terdekat selain hak pasangan itu dan anak-anak mereka terus dipelihara.
    
Sweden mendukung kuat hak asasi manusia dan perlindungan kanak-kanak, dengan memastikan undang-undang negara dipatuhi oleh rakyatnya serta warga asing yang menetap di negara itu.
    
"Namun, ini tidak akan menghalang usaha berterusan kementerian dalam menggalakkan hak dan perlindungan, kebajikan dan keselamatan semua rakyat Malaysia yang terlibat," menurut Kementerian Luar.
    
-Bernama

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP