Saturday, 11 January 2014

Putrajaya rancak kempen hidupkan semula ISA

Putrajaya dipercayai sedang berkempen untuk menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) apabila ketua polis negara, timbalan menteri dalam negeri dan akhbar Umno Utusan Malaysia melahirkan hasrat agar ia dihidupkan semula secara serentak.

Ketika Tan Sri Khalid Abu Bakar berharap agar ISA dihidupkan semula, akhbar Umno pula menyokong agar ia dikembalikan manakala timbalan menteri KDN berkata, Sosma yang rangka untuk menggantikan ISA tidak bertaring.


Utusan Malaysia hari ini menyokong supaya ISA dikembalikan semula kerana pemansuhannya menyebabkan keharmonian kaum dan agama di negara tergugat.

Penulis ruangan kolum Awang Selamat, berkata cadangan tersebut akan menimbulkan kemarahan di kalangan pejuang hak asasi manusia.

"Awang yakin kenyataan ini pasti akan menimbulkan kemarahan mereka yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia.

"Takut-takut kedua kenyataan ini akan mendorong kerajaan mengkaji semula pemansuhan ISA," kata Awang Selamat hari ini.

Awang Selamat berkata, pemansuhan undang-undang tahanan tanpa bicara tersebut sebagai punca keharmonian kaum dan agama di dalam negara tergugat oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab.

"Namun kita harus akui bahawa tanpa ISA, pelbagai insiden berlaku sehingga menggugat keharmonian kaum dan agama di negara ini," katanya.

Katanya, ketiadaan undang-undang ISA menyebabkan sesetengah pihak mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu sensitif yang tidak pernah dibangkitkan ketika undang-undang tersebut masih berkuatkuasa.

"Pemansuhan ISA diambil kesempatan oleh golongan tertentu untuk membangkitkan isu yang satu ketika dahulu takut mereka sentuh.

"Ini termasuklah perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan seperti kedudukan orang Melayu dan agama Islam," katanya.

Awang Selamat turut memberi amaran supaya mana-mana pihak tidak lagi memainkan isu sensitif yang menyentuh orang Melayu dan agama Islam sekirannya tidak mahu ISA dikembalikan semula.

"Kalau tidak mahu ISA diwujudkan semula, maka belajarlah menghormati apa yang termaktub dalam undang-undang dan Perlembagaan negara.

"Janganlah melakukan tindakan yang boleh mengundang petaka," katanya.

Akta tahanan tanpa bicara, ISA dimansuhkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada 2011 bagi digantikan dengan undang-undang baru yang lebih bersesuaian dengan hak asasi manusia.

Ia digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) Sosma yang diwartakan pada 2012.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam mengulas isu sama mengakui Sosma tiada taring kerana tiada memiliki kuasa setanding dengan ISA.

"Tetapi malangnya, segelintir rakyat Malaysia yang diterajui oleh pihak tertentu tetap mahu melakukan perkara tidak matang termasuk membuat bantahan di jalanan sekali gus membelakangi aspirasi yang dibawa Sosma.

"Disebabkan tiada kuasa seperti ISA, Sosma tidak mempunyai taring," katanya yang dipetik dalam Utusan Malaysia mengulas tentang cadangan agar ISA dikembalikan semula.

Cadangan agar ISA dikembalikan semula disuarakan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang mahu pihak ekstrem untuk menjatuhkan kerajaan supaya diberikan kesedaran.

"Saya faham apa yang dikatakan oleh Tun Dr Mahathir tetapi perkara ini masih terpulang kepada kerajaan kepimpinan perdana menteri, Najib," kata Wan Junaidi.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga senada dengan menyokong cadangan untuk mengembalikan semula ISA.

"Ya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) mencukupi tetapi apa salahnya ISA?"

"Kedua-dua undang-undang itu sesuai dengan sebab tertentu. Apa sahaja undang-undang diperkenalkan yang membantu saya dalam keselamatan dalam negeri dan orang awam, saya alu-alukan," katanya.

Pada 5 Januari baru-baru ini, enam tahanan ISA terakhir di kem tersebut dibebaskan berikutan pemansuhan akta itu dan digantikan dengan penguatkuasaan Sosma.

Ia sekaligus menyaksikan berakhirnya undang-undang tanpa bicara yang diperkenalkan pada 1969.

Akta ISA menerima kritikan kerana digunakan secara konsisten terhadap mereka yang mengkritik kerajaan selain tidak berlandaskan kepada asasi manusia.

Pelbagai usaha dan cara digerakkan oleh rakyat dan kumpulan sivil untuk memansuhkan ISA dan menutup kem tahanan ini, antaranya penubuhan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di samping mengadakan demonstrasi jalanan dan kempen lain bagi membantah akta tersebut. - tmi

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP