Wednesday 15 January 2014

Mahkamah kata ok utusan fitnah Anwar..

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan sebelum ini bahawa dua artikel yang diterbitkan Utusan Malaysia (M) Sdn Bhd bersifat fitnah, berhubung temu bual pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan BBC, mengenai undang-undang homoseksual dua tahun lepas.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Zaharah Ibrahim memerintahkan bahawa tiada merit dalam rayuan perayu selepas meneliti asas penghakiman dan nota prosiding Mahkamah Tinggi.


Panel hakim itu memerintahkan kos sebanyak RM25,000 dibayar kepada responden.

Mahkamah juga menolak permohonan Umno untuk mencelah dalam rayuan itu, bagaimanapun ia tidak menetapkan sebarang kos.

Dua lagi anggota panel ialah Hakim Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk K Anantham.

Peguam Abu Bakar As-Sidek memberitahu pemberita kemudian bahawa Umno membuat permohonan itu berikutan isu sama ada parti itu telah mempengaruhi dasar editorial akhbar berkenaan.

Mahkamah Tinggi tahun lepas memutuskan bahawa defendan Utusan Melayu (M) Bhd dan Ketua Pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak, gagal mempertahankan semua pembelaan statutori merangkumi justifikasi, komen yang adil dan keistimewaan bersyarat.

Pada 10 Januari 2012, Anwar memfailkan saman fitnah dengan menuntut RM50 juta ganti rugi atas dakwaan defendan telah menerbitkan dua artikel dalam akhbar Utusan Malaysia pada 17 Januari 2012, berhubung temu bualnya dengan BBC.

Beliau menegaskan bahawa kata-kata yang digunakan memberi gambaran beliau tidak layak memegang jawatan dan sebagai pemimpin Islam mempunyai pendapat yang berbeza dengan ajaran Islam.

Dalam rayuan hari ini, Anwar diwakili peguam R. Sivarasa, sementara Utusan diwakili Datuk Firuz Hussein Ahmad Jamaluddin. - Bernama


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP