Poster Jepun dibakar, dipijak di kedutaan
Pemuda PKR (AMK) hari ini menghantar memorandum bantahan ke kedutaan Jepun di Kuala Lumpur berhubung sekatan yang dikenakan ke atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki negara itu pada 19 Januari lalu.
Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, mereka menuntut kedutaan Jepun menjelaskan perkara tersebut dan menyatakan permohonan maaf kepada Anwar kerana telah bertindak sebegitu.
Tambahnya lagi, halangan tersebut disifatkan tidak wajar kerana Anwar difahamkan tiada sebarang isu melibatkannya dengan negara itu.
“Amat mengejutkan, berdasarkan rekod Anwar tidak ada sebarang isu sebelum ini dengan negara itu sehingga menghalang beliau memasuki Jepun minggu lalu oleh imigresen negara itu.
“Kita percaya tindakan kerajaan Jepun itu berlebihan, tiada jaminan dan menyalahi Artikel 13 Hak Asasi Manusia,” katanya.
Sementara itu, penghantaran memorandum ke kedutaan Jepun itu melibatkan 30 orang peserta bantahan sambil memegang poster yang bertulis “boikot barangan Jepun”.
Ada antara mereka memijak poster, yang mirip bendera Jepun tersebut, dan membakarnya di hadapan kedutaan itu.
Shamsul juga memaklumkan memorandum tersebut diterima oleh wakil kedutaan, Masa Hiro dan dua orang lagi wakil kedutaan itu.
Dalam perkembangan terbaru, AMK menafikan pihak yang membakar poster itu merupakan anggota sayap PKR itu.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment