Tuesday 12 November 2013

Sokong Mat Sabu - Satu Lagi Agenda Busuk Utusan Malaysia

Selepas menyedari sokongan mereka bakal "membawa rebah" kepada calon Timbalan Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, akhbar milik Umno Utusan Malaysia hari ini membuat pusingan 180 darjah apabila mempromosikan Mohamad Sabu pula untuk jawatan itu.

Dalam analisis The Malaysian Insider bertajuk Timbalan Presiden PAS: Sokongan Utusan "membawa rebah" kepada Mohd Amar?, didedahkan bagaimana dalam pemilihan PAS pada 2011, bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa mendapat undi tercorot sebanyak 224 undi berbanding Mohamad (420) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (399) walaupun mendapat sokongan kuat daripada Utusan Malaysia.


"Sememangnya daripada segi rekod perjuangan dalam PAS, Mat Sabu dilihat jauh meninggalkan Mohd Amar yang dianggap hanya dikenali sebagai seorang pemimpin di peringkat negeri sahaja.


"Mat Sabu pernah menjadi Ketua Pemuda PAS dan Naib Presiden PAS sebelum ini manakala Mohd Amar pula tewas dua kali dalam percubaan untuk menjadi Naib Presiden.

"Berbanding Mohd Amar, dalam soal bertanding dalam pilihan raya Mat Sabu pernah menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri (1990-1995), Kubang Kerian (1995-1999) dan Kuala Kedah (1999-2004)," tulis Pengarang Utusan Malaysia, Zukiflee Bakar dalam artikelnya bertajuk, "Mat Sabu harapan politik PAS".

Timbul persepsi di kalangan perwakilan PAS calon disokong akhbar milik Umno akan menjadi tidak popular kerana parti Melayu itu adalah musuh tradisi PAS sejak zaman berzaman.

Sebelum ini dalam artikel Zulkiflee bertajuk "Memperkasa ulama dalam PAS" pada Ahad, Pengarang Utusan Malaysia itu berkata, populariti Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu menurun dan jumlah kehadiran orang di siri ceramah pemimpin nombor dua PAS itu semakin berkurangan.

"Sememangnya jika apa yang dipaparkan mengenai rentetan perjalanan politik Mat Sabu, tidak ada salah untuk beliau terus kekal sebagai Timbalan Presiden.

"Apatah lagi menurut satu sumber, Mat Sabu dikatakan mendapat pencalonan melebihi Mohd Amar bagi jawatan Timbalan Presiden," kata Zulkiflee.

Utusan Malaysia kini mempromosikan Mohamad Sabu dalam laporan beritanya menjelang Muktamar PAS bulan ini.Perubahan sokongan Utusan Malaysia daripada Mohd Amar kepada Mat Sabu dilihat sebagai "reverse psychology" untuk memastikan Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan itu memenangi perebutan jawatan Timbalan Presiden PAS.

Ini kerana jika dilihat sejak pilihan raya umum 2008, akhbar milik Umno itu konsisten dalam mengasak PAS supaya keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) yang turut dianggotai oleh PKR dan DAP.

Ini selari dengan pandangan golongan ulama dalam PAS yang mahu kerjasama politik dengan PR dikaji semula terutama dengan PKR.

Utusan Malaysia dalam laporan beritanya sebelum ini sering menggelar Mohamad sebagai golongan Anwarinas - merujuk kepada pemimpin PAS yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara Mohd Amar pula diangkat sebagai wakil golongan ulama yang dikatakan bakal memperkukuh dasar Islam dalam parti itu.

Dalam ucaptama di Multaqa Ulama Semalaysia yang diadakan di Kota Sarang Semut pada September, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib mencadangkan agar parti Islam itu mengkaji semula tahaluf siasi (kerjasama politik) parti Islam itu terutama dengan PKR.

"Amat wajar tahaluf siasi bersama PKR ini dikaji setelah berlaku perkara yang boleh melemahkan PAS dan merosakkan hubungan di dalam tahaluf siasi," kata Harun.

Pandangan Harun itu dilihat sebagai pandangan golongan ulama yang berada di belakang Mohd Amar.

Di atas kertas, Mohamad mempunyai kelebihan dan lebih dikenali oleh 1,300 perwakilan PAS kerana sudah lama berperanan sebagai pemimpin nasional dan senangi oleh rakan-rakan PR berbanding Mohd Amar yang hanya aktif dalam arena politik Kelantan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatannya selepas tiada pencabar.

Pemilihan PAS bagi 2013 akan diadakan dari 22 hingga 24 November ini di Shah Alam, Selangor.- TMI

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP