Thursday, 14 November 2013

MP berbalas koyak kertas usul di Dewan Rakyat

Jika pagi tadi beberapa MP pakatan Rakyat mengoyak-ngoyak kertas usul menggantung MP Padang Serai sewaktu ia dibentangkan, petang tadi menyaksikan giliran MP dari BN pula untuk 'membalas dendam'.

MP Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin mengoyak usul MP Kuantan, Fuziah Salleh yang mencadangkan agar gaji lima orang penasihat bertaraf menteri yang dibayar sebanyak RM27,227 sebulan setiap seorang untuk tempoh setahun, 'diagihkan semula'.


Membentangkan usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9), Fuziah berkata ia dimajukan untuk mengelakkan pembaziran Belanjawan 2014 memandangkan lima jawatan itu dilihat sebagai tidak lebih daripada lantikan politik.

Di sebelah pagi, MP Pakatan yang diketuai Azmin Ali (PKR-Gombak) melabelkan usul menggantung Surendran selama enam bulan sebagai 'usul haram'.

Tidak lama kemudian, sebahagian MP Pakatan Rakyat bangkit dan melaung perkataan 'usul haram' berulang-ulang kali.

Pada masa yang sama, sebahagian MP Pakatan yang lain pula menggumpal kertas usul atau mengoyak-ngoyakkannya sewaktu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri membentangkan usul tersebut.

Di sebelah petangnya, sewaktu Fuziah membentangkan usul beliau, Bung Mokhtar bangkit mencelah dan menggesa Fuziah dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan.

Beliau mendakwa Fuziah membuat kesilapan teknikal dalam menamakan jawatan terperinci lima penasihat yang dimaksudkan dalam usul itu.

Beliau kemudiannya mengisytiharkan usul itu sebagai "usul haram" seperti dilakukan Azmin di sebelah pagi sebelum mengoyak-ngoyakkan kertas usul.

Beliau kemudian terus menepuk-nepuk meja sambil menjerit "tipu" berulang-ulang kali seorang diri menyebabkan usul Fuziah tergendala seketika untuk dibentangkan.

Lima penasihat bertaraf menteri yang dirujuk Fuziah dalam usulnya adalah Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Seri Noh Omar, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Johari Baharom, dan Hasbi Habibollah.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP