Friday, 29 November 2013

Nizar dicabar ulang dakwaan di luar DUN

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mencabar ketua pembangkang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya mengulangi dakwaan yang diucapnya ketika membahas Bajet 2014 negeri Perak yang menyentuh persempadanan semula kawasan pilihan raya di luar persidangan itu.

Datuk Mohd Khusairi Mohd Talib (BN-Slim) berkata Mohammad Nizar bersikap tidak bertanggunggjawab apabila membuat dakwaan bahawa bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengaku membuat persempadanan semula semata-mata untuk meneruskan kuasa Umno dan parti PAS menjadi mangsa terhadap langkah itu.


"Saya harap ADUN Changkat Jering dapat mengulangi kenyataan di luar persidangan supaya tindakan dapat diambil oleh pihak yang dituduh iaitu bekas pengerusi SPR yang telah menyatakan rasa terkilan dan kesal terhadap tuduhan (Yang Berhormat) Changkat Jering.

"Ini kerana kita (ADUN) tahu di dalam ini (DUN) kita mempunyai kekebalan, boleh kata apa sahaja tanpa risau dikenakan tindakan undang-undang," katanya ketika membahaskan Bajet 2014 negeri Perak di persidangan DUN di Ipoh semalam.

Beliau berkata dakwaan ketua pembangkang yang dibuat Selasa lepas itu satu tohmahan yang cukup tidak bertanggungjawab, fitnah dan satu niat buruk.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita di luar persidangan DUN, Mohammad Nizar berkata dakwaan itu dipetiknya daripada laporan media sosial termasuk portal berita Malaysian Insider yang melaporkan Abdul Rashid mahu melangsungkan pemerintahan Umno.

"Saya cuma menyatakan apa yang dilaporkan, saya bukan nak sahut cabaran dia (Mohd Khusairi). Saya cuma ulang apa yang saya terbaca, maka jika yang saya baca tidak betul, dia perlu saman surat khabar, media sosial atau Abdul Rashid sendiri boleh buat sedemikian," katanya.

Mohammad Nizar mendakwa persempadanan kawasan pilihan raya memang untuk BN meneruskan kuasa kerana tiada pertambahan kerusi bagi DUN Kelantan, Kedah dan Terengganu.

"Mana-mana tempat yang ramai pengundi Melayu memang sengaja SPR tidak tambah bilangan kerusi. Kalau SPR tambah kerusi seperti di Baling, kita ada 90,000 pengundi, kalau dibuat dua kerusi sudah tentu PAS akan bertanding dengan Umno dan PAS menang," dakwanya.

- Bernama


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP