Friday, 22 November 2013

Hadi Awang Jamin Pas Akan Kekal Dalam Pakatan

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi jaminan PAS akan terus menjadi rakan aktif Pakatan Rakyat (PR) dan bukan penumpang semata-mata.

Ia bertujuan untuk memenuhi mesej tema "PAS adalah Rahmat Untuk Semua" yang menjadi tema muktamar PAS ke-59 ini, katanya ketika memberikan ucapan dasar dalam majlis perasmian muktamar PAS di Stadium Melawati, Shah Alam pagi ini.


"Ingatlah, bahawa kita bukan penumpang semata-mata, rakan-rakan kita juga bukan penumpang, tetapi semua parti dalam PR adalah penggerak bersama untuk memperkukuhkan peranan dalam membawa persefahaman politik ini ke tahap lebih maju," katanya.

Kenyataan Abdul Hadi boleh dianggap sebagai menjawab beberapa isu yang berbangkit sejak kebelakangan ini khasnya oleh PAS Pulau Pinang.
PAS Pulau Pinang yang diketuai Timbalan Pesuruhjayanya membuat sidang akhbar khas bagi mengkritik kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin DAP kononnya mereka (PAS) adalah penumpang sahaja.

Dalam ucapan di depan kira-kira 1,300 perwakilan dari seluruh negara dan lebih 5,000 pemerhati, Abdul Hadi berkata, PAS dan Pakatan Rakyat adalah pilihan majoriti rakyat negara ini sebagaimana yang ditunjukkan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

"Kita kekal di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Kerajaan Persekutuan BN minoriti rakyat ini pula hanya mampu memperolehi 46.53% sokongan pengundi, berbanding Pakatan Rakyat yang mencapai sokongan 49.96% melalui jumlah undi keseluruhan," katanya.

Katanya, kedudukan itu sedikit pun tidak melemahkan semangat untuk ahli PAS terus berjuang.

"Kekalahan kita yang menyebabkan hilangnya kerajaan negeri Kedah pula wajar diteladani, tetapi janganlah sehingga melemahkan semangat sehingga kita lupa erti sebenar perjuangan.
"Kita masih menjadi pilihan di DUN Sungai Limau Kedah, dalam pilihan raya kecil yang baharu sahaja berlalu," katanya. -


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP