Sunday 24 November 2013

Pemilihan PAS: Kempen agresif kumpulan pro ulama memakan diri




Sejak selepas pilihan raya umum 5 Mei lalu, kumpulan pro ulama dalam PAS sudah memulakan kempen di media sosial seperti Facebook untuk menyerang kumpulan profesional dalam parti Islam itu bagi memastikan calon-calon mereka terpilih.

Kempen yang dikendalikan oleh jentera-jentera muda menggunakan pelbagai label seperti Syiah, liberal dan macam-macam lagi untuk memburukkan musuh mereka.

Akan tetapi, keputusan pemilihan PAS di Muktamar ke-59 yang masih lagi berlangsung hari ini membuktikan sebaliknya apabila kebanyakan pemimpin yang diserang dengan pelbagai label terpilih oleh majoriti perwakilan parti Islam itu dari seluruh negara.

Mohamad Sabu yang dikatakan ketua kepada kumpulan profesional atau Erdorgan berjaya menewaskan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah daripada kem pro ulama dengan majoriti 98 undi.

Keputusan bagi jawatan tiga Naib Presiden PAS hanya akan diumumkan hari ini selepas selesai kiraan semula undi malam tadi akibat perlawanan terlalu sengit di antara lima calon yang bertanding iaitu Datuk Husam Musa, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Abu Bakar Chik.

Sementara bagi jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat menyaksikan 11 dari 18 anggotanya daripada kumpulan profesional yang kesemuanya merupakan penyandang mempertahankan jawatan mereka.

Mereka adalah Mazlan Aliman, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin, Datuk Ir Amirudin Hamzah, Dr Mohd Hatta Ramli, Datuk Dr Mujahid Yusof, Dr Dzulkefly Ahmad, Mohamed Hanipa Maidin, Datuk Kamarudin Jaffar, Khalid Samad, Dr Syed Azman dan Dr Siti Mariah Mahmud.

Kumpulan pro ulama pula berjaya menghantar empat tokoh muda mereka ke dalam Jawatankuasa PAS Pusat iaitu Nasrudin Hassan, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, Nik Zawawi Salleh dan Dr Ridhuan Mat Nor.

Selain itu, tiga lagi yang menang yang dikira penyokong pro ulama adalah Idris Ahmad, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan Nuridah Salleh.
Ini membuktikan kempen-kempen menghentam kumpulan profesional di media sosial yang turut mendapatkan sokongan akhbar milik Umno seperti Utusan Malaysia tidak berjaya membuahkan hasil.

Seorang penganalisis politik memberitahu penulis beberapa hari lepas ramai yang terlupa bahawa walaupun PAS kini mempunyai penyertaan ramai daripada golongan profesional dan sudah menggunakan media sosial untuk berkomunikasi, ia tetap merupakan sebuah parti politik konservatif.

“Watak parti konservatif ahli-ahli akan mengekalkan penyandang jawatan selagi mana pemimpin itu ‘tidak buat hal’.

“Nasharuddin Mat Isa dahulu buat hal itu dan ini. Sebab itulah beliau kalah,” kata penganalisis politik veteran itu dengan syarat namanya dirahsiakan.

Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu sebelum ini memberitahu portal The Malaysian Insider kempen kali ini paling buruk dalam sejarah 35 tahun penyertaannya dalam PAS.

''Sepanjang 35 tahun saya berada dalam PAS iaitu sejak 1978, inilah kempen paling teruk pernah saya lihat.''

Mohamad menegaskan, pelbagai kempen dijalankan oleh ahli PAS termasuk dengan cara menyerang dan melabelkan pihak yang tidak dipersetujui oleh masing-masing dengan menjadikan Facebook, SMS dan blog sebagai medan utama.

''Untuk menjatuhkan seseorang pemimpin PAS, pelbagai label diberikan. Paling popular ialah Syiah dan yang kedua, liberal,'' katanya.
Dalam analisis wartawan veteran Zulkifli Sulong, beliau mengatakan pemilihan PAS kali ini membuktikan perwakilan dari seluruh negara memilih tokoh dan bukannya label atau sesuatu kelompok dalam parti Islam itu.

Ternyata kempen agresif kumpulan pro ulama untuk menyerang individu tertentu dan memberikan pelbagai label kepada mereka tidak berjaya membuahkan hasil. – tmi


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP