Saturday 30 November 2013

Lelaki meninggal dunia di balai polis, 4 ditahan

Seorang lelaki disahkan meninggal dunia sebaik tiba di balai polis daerah Sentul pada malam hari Khamis.

Menurut kenyataan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa, lelaki itu didakwa dipukul oleh orang ramai sebelum dileraikan oleh polis.

Menurut Khairi, lelaki itu dalam perjalanan di dalam kereta yang dilaporkan dicuri pada hari Rabu di Puchong, Selangor.


Sehubungan itu, polis menahan empat lelaki berusia antara 22 dan 37 tahun, jam 10 pagi semalam ketika mereka datang ke Balai Polis Sentul untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu, yang berlaku di jalan susur ke Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Sentul.

Khairi berkata berdasarkan laporan yang diterima pihaknya, dalam kejadian pukul 7.50 petang itu, kira-kira 15 orang awam mengelilingi serta memukul mangsa yang berumur 32 tahun dan anggota polis yang tiba di tempat kejadian meleraikan keadaan sebelum membawa lelaki berkenaan ke Balai Polis Sentul dengan kereta peronda.

Khairi berkata siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku berikutan kes kecurian kereta Honda Civic dari tempat letak kereta Taman Putra Perdana, Puchong pada Rabu lepas.

Rakan pemilik kereta itu yang bermotosikal berjaya mengesan kenderaan berkenaan terperangkap dalam kesesakan lalulintas di Lebuhraya DUKE menghala ke Jalan Duta petang semalam.

Beliau berkata mereka cuba menahan dua lelaki, termasuk mangsa yang berada dalam kereta yang dilaporkan dicuri itu.

Katanya, seorang daripada mereka berjaya meloloskan diri manakala mangsa dibelasah.

Menurutnya lagi, lelaki yang dipukul itu kemudiannya dibawa ke balai polis Sentul dengan sebuah kereta peronda.

"Sebaik tiba di perkarangan balai polis Sentul, anggota kereta peronda mendapati lelaki berkenaan telah tidak sedarkan diri.

"Pihak polis kemudiannya menghubungi hospital bagi memberi bantuan kecemasan kepada lelaki terbabit.

"Sebaik pihak ambulans tiba bersama pegawai perubatan memberi bantuan kecemasan, mendapati lelaki berkenaan telah meninggal dunia," kata Khairi.

Polis juga mendakwa bahawa pemeriksaan awal mendapati lelaki berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Mayat lelaki berkenaan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut dan bedahsiasat.

Kenyataan itu tidak menyebut hasil bedahsiasat ke atas lelaki terbabit.
Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu tampil memberi maklumat kepada Pegawai Penyiasat ASP Wan Abdullah Wan Said di talian 03-6256 2280 atau 03-6256 2307.

Sementara itu, anggota keluarga si mati telah mengenalpasti mangsa sebagai Mohd Nazri Nusi .

Kumpulan Lawyers for Liberty (LFL) telah didatangi keluarga mangsa dan kini sedang cuba untuk mendapatkan fakta-fakta di sebalik kejadian itu.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP