Keluarga empat mangsa culik di Sarawak mengakui menyerahkan RM12 juta wang tebusan kepada polis untuk diserahkan kepada kumpulan militan Abu Sayyaf pada 24 Mei lalu.
Harian Metro melaporkan, wang tebusan itu membabitkan sumbangan individu dan orang ramai sebanyak RM9 juta, pemberian syarikat perkapalan tempat mangsa bekerja sebanyak RM2 juta dan RM1 juta lagi hasil pajak gadai dua rumah keluarga mangsa di Pulau Li Hua, Sibu.
Bapa saudara kepada kepada salah seorang tebusan, Datuk Lau Cheng Kion berkata, wang tebusan itu diserahkan kepada Cawangan Khas di Sandakan pada 24 Mei lalu.
"Kami serahkan amaun itu membabitkan 12 cek Hong Leong Bank yang setiap satunya bernilai RM1 juta dalam sebuah beg sebelum diserahkan kepada Cawangan Khas di Sandakan pada 24 Mei, sekitar jam 4 hingga 6 petang.
"Semua wang itu sudah diserahkan kepada mereka (kumpulan militan Abu Sayyaf) dan kami tidak mengambilnya walau satu sen pun," katanya yang merupakan bapa saudara kepada tebusan Johnny Lau Jung Hien.
Lau berkata, selepas keluarga mangsa membuka akaun Facebook merayu bantuan orang ramai, mereka menerima maklum balas positif.
"Sumbangan diterima dari Papua New Guinea, Taiwan, China, Pulau Solomon dan Malaysia. Ada individu yang memberikan amaun besar dalam sumbangan itu, namun tidak mahu namanya didedahkan.
"Sesiapa yang ingin penjelasan lanjut mengenai wang tebusan ini, mereka boleh berhubung Cawangan Khas dan Bank Hong Leong di Sandakan. Ia adalah sumbangan orang ramai, kami tiada hak terhadapnya," katanya.
Pengakuan Lau itu bertentangan dengan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa tiada wang tebusan yang dibayar kepada kumpulan militan Abu Sayyaf.
Khalid sebelum ini dilapor berkata keempat-empat tebusan itu dibawa pulang ke tanah air oleh Unit Tindakan Khas (UTK) selepas dibebaskan tanpa sebarang pembayaran.
Pada 1 April lalu, adik beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 21, dan Wong Hung Sing, 34, diculik dari kapal tunda MV Massive 6 oleh sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Sabah.
Semua tebusan dibebaskan pada 9 Jun lalu dan menjalani pemeriksaan serta diambil keterangan oleh polis sebelum dibenarkan pulang, semalam.
Keempat-empat mereka di sambut keluarga masing-masing sebaik tiba di Lapangan Terbang Sibu jam 8.40 pagi, semalam.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment