PETALING JAYA: Keputusan dua PRK semalam memberi isyarat pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak kisah dengan pelbagai kepayahan ditanggung rakyat selama ini yang berpunca daripada pelbagai dasar dilaksanakan kerajaan BN.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, ia termasuk pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan kos sara hidup dan skandal 1MDB.
“Maksudnya segala keributan dan keresahan yang disuarakan selama ini (baik yang menulis secara terus, baik yang menzahirkan kemarahan itu di media sosial dan lain-lain) hanya satu kepura-puraan?
“Maksudnya rakyat tidak kisah sebenarnya dengan kepayahan hidup yang disebabkan GST?
“Mereka tidak rasa marah dengan skandal wang yang menyebabkan peruntukan rakyat dipotong dan menambahkan beban mereka?” soalnya menerusi Facebook miliknya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berpendapat, pengundi masih terpengaruh dengan dua senjata utama Umno dan BN sejak berdekad lalu, iaitu sentimen perkauman atau keagamaan dan kebendaan.
Dari segi sentimen perkauman atau keagamaan, beliau mendakwa ramai pengundi ‘pasrah’ dengan masalah rasuah dan penyelewengan kerana bagi mereka, memerangi Cina DAP dan sekutu mereka iaitu PKR dan Amanah lebih penting daripada membantu diri mereka sendiri.
Manakala dari segi kebendaan, faktor projek yang dijanjikan dan wang yang diagihkan semasa berkempen oleh Umno dan BN tetap berkesan untuk meraih undi rakyat tidak kira kaum Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan.
“Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuktikan penyakit kebendaan ini tidak mengenal kaum, agama, tempat atau masa,” katanya.
PRK Sungai Besar semalam menyaksikan BN menang dengan majoriti 9,191 undi, selepas meraih 18,600 undi, diikuti Amanah (7,609 undi) dan PAS (6,902 undi).
Manakala Kuala Kangsar pula menyaksikan BN mendapat majoriti 6,969 undi, setelah BN meraih 12,653 undi, PAS (5,684 undi), Amanah (4,883 undi) dan calon Bebas (54 undi).
Mengulas pandangan Pakatan Harapan mempelawa PAS kembali ke meja rundingan dengan blok pembangkang, Rafizi berkata, ia telah dibincangkan dengan wakil pimpinan PAS sejak awal lagi.
“Dijemput untuk menyertai Pakatan Harapan malah dirunding sehingga ke peringkat akhir untuk satu lawan satu dalam kedua-dua pilihan raya kecil.
“Keputusan sama ada PAS masih mahu terus menjadi blok ketiga itu di luar kawalan Pakatan Harapan kerana ia keputusan PAS,” tegasnya.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment