PUTRAJAYA: Polis sedang menjejaki dua bekas pekerja sebuah taska di Presint 15 bagi membantu siasatan berhubung kes bayi yang disyaki didera dan gambar mereka menjadi viral di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan berkata, kedua-dua bekas pekerja wanita itu dikatakan telah melarikan diri setelah gambar kes dera dua bayi itu tersebar di laman sosial sejak semalam.
Menurutnya, kes dera itu didakwa melibatkan seorang bayi lelaki berumur 13 bulan dan seorang bayi perempuan berumur empat bulan.
Rosly berkata, pemilik taska itu yang merupakan seorang wanita berumur 27 tahun telah menghantar gambar bayi lelaki dengan kesan lebam pada mukanya melalui aplikasi WhatsApp kepada ibu bayi itu.
“WhatsApp itu dihantar kepada ibu bayi itu yang merupakan seorang pegawai kerajaan kira-kira 4.10 petang pada 25 Mei lalu dan pada 8.42 malam, ibu bayi (pengadu) menerima satu lagi WhatsApp daripada pekerja taska memaklumkan anak pengadu didera pemilik taska,” katanya.
Rosly berkata, pihaknya telah menerima laporan polis daripada pemilik taska itu pada jam 5.40 petang Selasa lalu yang menerima WhatsApp bergambar berhubung anak-anak didera di taska itu.
“Pemilik taska mengesyaki perbuatan itu dilakukan dua bekas pekerjanya yang masing-masing berumur awal 20-an yang telah melarikan diri pada Sabtu lalu, sebelum mereka menyebarkan hingga menjadi viral gambar seorang bayi perempuan yang mulutnya ditutup dengan kain lampin dalam Internet,” katanya.
Menurut Rosly, sebelum ini, pihak polis turut menerima aduan daripada ibu bayi itu yang mengatakan terdapat kesan lebam pada muka anak lelakinya akibat didera.
“Polis juga menerima laporan polis daripada bekas pekerja taska pada pukul 4 petang Rabu lalu (1 Jun) menafikan telah mendera kanak-kanak di taska dan mendakwa pemilik taska yang mendera kanak-kanak itu,” katanya.
Sementara itu, pemilik taska berkenaan mendakwa laporan kes dera dua bayi di pusat asuhan yang tersebar di laman sosial merupakan sabotaj dua pekerja yang baru tiga bulan bekerja dengannya.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah melakukan lawatan ke premisnya dua hari lalu untuk menyiasat dan taska itu masih beroperasi seperti biasa kerana mematuhi peraturan ditetapkan termasuk mempunyai sijil asuhan di bawah program Permata Negara.
– BERNAMA
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment