Sunday, 12 June 2016

Hisham 'Pelik' Tun M Sokong AMANAH Dan Tidak Sokong PAS



Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata beliau tidak faham apa rasional Tun Dr Mahathir Mohamad turun padang memberikan sokongan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) pada pilihan raya kecil kali ini.

Kata Hishammuddin bekas perdana menteri itu dilihat tidak konsisten memberikan sokongan kepada pakatan pembangkang.

"(Saya) pelik sebab peringkat awal Tun (Dr Mahathir) kata dia sokong pembangkang untuk kalahkan BN, tetapi sekarang nampak Tun hanya sokong AMANAH saja (sedangkan) PAS pun pembangkang juga.

"Saya tak faham raisonalnya Tun M berbuat begitu," kata Hishammuddin dalam sidang medianya di Kuala Kangsar petang tadi.

Dr Mahahtir hari ini dilaporkan turun ke Sungai Besar untuk berkempen bagi memenangkan calon AMANAH yang mewakili gagasan pembangkang dalam Pakatan Harapan.

Esok Dr Mahathir dijadual akan ke Kuala Kangsar pula.

Kedua-dua pilihan raya kecil pada 18 Jun ini menyaksikan BN berdepan dua parti pembangkang, iaitu AMANAH dan PAS.

Tak halang turun

Mengulas lanjut menteri pertahanan itu berkata apa yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir dalam siri kempennya - tentang kepimpinan Datuk Seri Najib Razak - juga tidak ada kaitan dengan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Hishammuddin berkata ia kerana Najib tidak bertanding di kedua-dua parlimen tersebut.

"Apa yang dibangkitkan dalam ceramah Dr Mahathir tak ada kaitan di Sungai Besar.

"Saya nak ingatkan (Dr Mahathir) bahawa Najib tak bertanding di piihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Hal yang menyentuh Najib, apa kaitannya dengan Kuala Kangsar dan Sungai Besar?" soal Hishammuddin.

Bagaimanapun, Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Semberong itu berkata beliau tidak menghalang pemimpin veteran Umno itu untuk turun berkempen membantu pembangkang.

"Kita tak boleh sekat beliau turun (berkempen) tapi tergamak beliau buat sebegini rupa," tambah Hishammuddin.

Pilihan raya kecil Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian bekas penyandangnya Datuk Wan Khair-il Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak.

- mkini


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP