Monday, 13 June 2016

Juadah Berbuka Puasa Dan Meja Makan Diterbangkan Ribut



TEMERLOH: “Segala-galanya berlaku dengan pantas. Selepas hujan batu turun hampir lima minit, tiba-tiba datang angin kencang dan sebaik saya menoleh, meja makan terbang mengenai kepala saya,” kata Saharuddin Abdullah, mangsa ribut di Kampung Desa Murni Sanggang.

Turut diterbangkan ialah juadah berbuka puasa. Yang selamat hanya lauk ikan patin masak lemak tempoyak.

Menurut Saharuddin, 42, ketika kejadian beliau bersama isteri, Siti Azah Hasim, 42, berada di gerai makan di hadapan rumahnya sedang menyiapkan juadah berbuka puasa.

“Saya ketika itu sedang membancuh air, apabila hujan batu tiba-tiba berlaku, buat pertama kali di kampung kami. Ini menyebabkan keadaan agak kecoh.

“Kemudian angin kencang menyebabkan bumbung gerai makan saya tercabut. Ketika menoleh untuk melihat keadaan sekitar itulah meja makan kayu terbang mengenai kepala menyebabkan saya pitam seketika,” katanya.

Sementara itu, anak sulung kepada pasangan itu, Nor Fatihah Saharuddin, 17, berkata mereka empat beradik yang berada di dalam rumah hanya mampu menjerit ‘Allahuakhbar’ beberapa kali setelah melihat sekeping demi sekeping atap rumah diterbangkan angin kencang.

“Kami ketika itu agak panik…Habis juadah berbuka puasa kami diterbangkan angin, yang mampu diselamatkan hanya lauk ikan patin masak lemak tempoyak,” katanya.

Seorang warga emas, Siti Aminah Yunos, 77, yang membahasakan dirinya ‘Wan’ menyifatkan kejadian ribut itu sebagai yang terburuk pernah dialami sejak tinggal di Kampung Desa Murni Kerdau 41 tahun lalu.

“Wan ketika itu baru terkejut daripada tidur apabila tiba-tiba terdengar angin kencang diikuti petir dan kilat. Wan rasa ketika itu rumah bagaikan bergoyang,” katanya.

Sementara itu, anak perempuan Siti Aminah, Suhana Sulaiman, 40, berkata mereka terpaksa berlindung di antara laluan ke dapur rumah selepas bumbung di bahagian hadapan dan dapur rumah terbang ditiup angin.

“Air hujan masuk mencurah-curah masuk dari bumbung menyebabkan dapur dan ruang tamu banjir.

“Ibu saya ketika itu panik dan meminta kami keluar rumah untuk mengelak sesuatu yang tidak diingini.

“Tetapi apabila melihat atap berterbangan di luar rumah dengan ribut petir, kami terpaksa berlindung di dalam rumah dan setelah hujan reda, kami hanya dapat berbuka dengan air oren,” katanya.

– BERNAMA




PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP