Monday, 20 June 2016

Zuhdi Meroyan Tuduh Pengundi Cina Tak Setia



PETALING JAYA: Kesetiaan pengundi Cina terhadap sesebuah parti itu yang tidak melebihi dua penggal adalah punca BN berjaya mendapat majoriti lebih besar di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar semalam.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata berdasarkan pengamatannya, pengundi Cina akan beralih arah untuk menyokong parti lain selepas dua penggal.

“Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan PRU 2013, mereka menyokong Pakatan Rakyat (PR), sekarang mereka akan kembali menyokong BN.

“Pola pengundian pengundi Cina sepanjang sejarah PRU di Malaysia saya perhatikan seperti itu,” katanya kepada FMT hari ini sebagai mengulas faktor yang mempengaruhi pengundi Cina beralih arah menyokong BN di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar semalam.

Di Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid yang merupakan balu Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu, menewaskan tiga pencabar lain dengan majoriti lebih besar 6,969 undi.

Sementara Budiman Mohd Zohdi yang juga Adun Sungai Panjang berjaya mempertahankan kerusi Sungai Besar yang disandang Allahyarhamah Tan Sri Noriah Kasnon yang juga terkorban dalam tragedi helikopter itu dengan majoriti jauh lebih selesa iaitu 9,191 undi berbanding 399 undi yang diraih pada PRU13.

Untuk meraih sokongan pengundi Cina, Mohd Zuhdi menyarankan Dewan Himpunan Penyokong PAS memberi penjelasan berhubung tohmahan yang dilemparkan oleh DAP, MCA dan Gerakan.

“Pengundi Cina lari daripada PAS disebabkan PAS masih gagal memperjelaskan tohmahan yang dilemparkan oleh parti-parti itu,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menegaskan parti itu tidak kehilangan sokongan pengundi Cina pada dua PRK semalam kerana penubuhan parti itu belum sampai setahun.

“Bagi saya walaupun BN dapat meningkatkan peratusan pengundi Cina mereka, namun saya rasa itu fenomena yang biasa berlaku dalam mana-mana PRK.

“Sebab masyarakat Cina ini boleh ‘demand’, kadang-kadang dia tunjukkan sedikit berantakan tapi biasanya dalam PRU itu tidak akan terjadi,” katanya.

-FMT





PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP