KUALA KRAI - "Lebih kerap Tun Dr Mahathir turun, lebih menguntungkan BN, saya harap dia jangan berhenti, turun lagi."
Demikian sindiran sinis Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas kemenangan besar BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar semalam.
Najib berkata, kehadiran bekas Perdana Menteri itu di dua pilihan raya termasuk berkempen untuk membuat pengutan suara menyingkirkannya jelas gagal.
"Pengutuan suara kononnya banyak pihak yang menyokong tetapi tidak diterjemahkan di dalam di dua PRK dan PRN Sarawak, ini kerana BN mendapat majoriti yang melipat kali ganda,
"Pungutan suara pula dilakukan tidak sah termasuk isu tandatangan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mangsa Banjir di Kampung Staponal di sini hari ini.
Di PRK Kuala Kangsar, calon BN Datin Mastura Mohd Yazid mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar yang disandang oleh suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dengan majoriti 6,969 undi berbanding 1,082 undi.
Dalam pertandingan empat penjuru, Mastura meraih 12,653 undi, calon Pas, Dr Najihatussalehah Ahmad (5,684), calon Parti Amanah Negara (Amanah), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (4,883) manakala calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary mendapat 54 undi.
Di Sungai Besar pula, Budiman Mohd Zohdi mengekalkan kerusi BN dengan majoriti 9,191 undi, jumlah yang jauh lebih besar berbanding 399 undi yang diraih BN menerusi Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon pada PRU13.
Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, memperoleh 16,800 undi untuk mengalahkan dua pencabarnya, Dr Abdul Rani Osman (Pas) yang menerima 6,902 undi dan calon Amanah, Azhar Abdul Shukur yang memperoleh 7,609 undi.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment