Perdana menteri sekali lagi mengecam pengkritiknya yang mendakwa kerajaan BN memberi "dedak" kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan.
Kali ini Datuk Seri Najib Razak berkata, sesiapa yang membuat tuduhan begitu sebenarnya mereka telah menghina rakyat.
Hakikatnya, kata Najib, sokongan yang diberikan membuktikan rakyat berkeyakinan kepada kerajaan kerana mengutamakan kemaslahatan ramai.
"Sebab itulah kalau ada orang kata kita menang (dalam pilihan raya Sarawak dan dua pilihan raya kecil pada 18 Jun lalu) kerana kita beri dedak kepada rakyat, itu adalah satu penghinaan. Penghinaan kepada rakyat," katanya di majlis Nur Ramadan di Putajara malam tadi.
Najib berkata rakyat memang tahu menilai dan membuat keputusan memilih kerajaan yang mengutamakan mereka.
Kerajaan, kata perdana menteri, terus memberi bantuan kepada rakyat walaupun berdepan dengan pelbagai tohmahan kerana ia adalah tanggungjawab.
Bantuan itu kata Najib bukan bertujuan untuk menghina rakyat kononnya dengan memberi 'dedak' sebaliknya ia dibuat kerana kerajaan sentiasa mementingkan kemaslahatan rakyat.
"Sbb itulah kerajaan pimpinan saya, kami dengan rakan-rakan jemaah menteri, kami tak kisah (orang) nak cakap apa pun, cakaplah.
"Akhirnya rakyat bertambah yakin kepada kerajaan," katanya disambut tepukan orang ramai.
Dedak adalah istilah yang dipopularkan kumpulan pengkritik Najib dalam usaha mereka mendapatkan sokongan bagi menyingkirkan beliau daripada jawatan perdana menteri serta presiden Umno.
Istilah itu semakin popular ketika pilihan raya kecil diadakan di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.
Terdahulu dalam ucapannya Najib membandingkan Malaysia dengan negara Islam lain yang sedang berperang seperti Syria dan Iraq.
Beliau bersyukur dengan Malaysia yang terus maju kerana rakyat memilih sebuah kerajaan yang sentiasa mengutamakan kebajikan awam.
"Sebab itulah, walaupun kita diserang dengan pelbagai fitnah, tohmahan - yang separuh benar, separuh tidak benar - tetapi kemenangan di pilihan raya di Sarawak, Sungai Besar dan Kuala Kangsar bar-baru ini membuktikan rakyat yakin kepada kerajaan," katanya.
- mkini
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment