Saturday, 4 June 2016

Lelaki Dakwa Teruk Dipukul Polis, Alami Lebih 50 Jahitan



Seorang lelaki mendakwa dia telah teruk dipukul oleh polis di sebuah setor barang di Bandar Baru Nilai sebelum dibawa ke Balai Polis Nilai di mana dia mendakwa dipukul lagi.

Peguam M Manoharan berkata anak guamnya, Muhammad Izzatuddin Mardzuki, sedar di hospital dengan lebih 50 jahitan selepas kejadian itu.

Izzatuddin membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban pada hari Khamis.

Dalam laporan polis itu, beliau mendakwa sekumpulan lelaki yang mendakwa dari Kementerian Dalam Negeri cuba memasuki setor barang keluarganya dan kemudian memukulnya pada pukul 3 pagi 25 Mei. Beliau kemudiannya digari.

"Saya disepak dengan kasut boot, kepala dihentak ke meja, ke lantai,dipukul di perut dan belakang," katanya sambil menambah dia nampak empat orang lelaki berbaju biasa.

Katanya, seorang lelaki menggeledah sebuah kereta Kancil di setor itu dan memaksanya berlutut di atas jalan raya di belakang setor itu.

"Kemudian seorang lelaki telah mengacu pistol ke dada saya sambil menyatakan akan menembak saya dan akan berikan dadah pada saya.

"Kepala dan badan saya disepak dan dipukul sehingga saya tersungkur. Saya diarah bangun dan kemudian disepak sehingga tersungkur lagi," tambahnya.

Izzatuddin berkata, mereka kemudian meludahnya dan membuka kasut untuk menamparnya.

Dibawa ke balai Nilai

Katanya, mereka mengambil wang RM100 yang di atas mejanya dan juga kira-kira RM180 dari dompetnya, manakala seorang daripada mereka memaki baju yang baru dibelinya dengan logo Volkswagen.

Izzatuddin berkata sebuah kereta polis kemudian tiba dengan dua anggota polis yang beruniform dan dia telah dibawa ke dalam kenderaan itu ke Balai Polis Nilai.

Tambahnya, seorang pekerja Indonesia di setor itu yang bersama Fitri, yang dituduh memiliki dokumentasi palsu, turut dibawa ke balai.

Di balai polis, Izzatuddin berkata selepas ditanya mengenai dokumentasi Fitri, beliau telah ditunjukkan gambar budak perempuan dan ditanya sama ada dia mengenalilnya.

"Saya jawab tak kenal. Kemudian saya dipukul lagi. Mereka ambil getah paip dan pukul badan, tapak kaki dan kaki sambil ditonton oleh Fitri.

"Salah seorang lelaki berulangkali memberi amaran kepada saya agar tidak beritahu orang saya dipukul polis, sebaliknya menyuruh saya beritahu bahawa saya telah lari dari polis dan terjatuh ke dalam longkang,

"Ketika itu, saya meminta kad identiti polis dan salah soerang lelaki itu mengeluarkan kad polis dan tunjukkan kepada saya.

"Saya turut disuruh melompat tinggi sepuluh kali sambil menyebut perkataan Bro, kerana saya memanggil mereka dengan panggilan bro.

"Selesai lompat, seorang lelaki ambil kayu besbal dan pukul belakang saya. Kemudian saya disuruh melompat lagi," katanya.

Izzatuddin katanya dia kemudiannya berasa sesak nafas, lalu jatuh kerana pening-pening.

9 jam pembedahan

Beliau berkata, mereka menanggal pakaiannya dan hanya tinggal seluar boxer pendek dan dibawa ke tandas untuk dimandikan dan dia kemudiannya dibawa keluar dan mereka memasang pendingin hawa dengan kuat.

Izzatuddin berkata dia disuruh pakai baju lokap dan seluar pendek biasa sebelum dibawa ke kereta polis.

"Semasa keluar dari bangunan itu, saya nampak lelaki yang mengambil dan memakai baju baru Volkswagen saya tadi. Dia memandu kereta tersebut. selepas masuk ke dalam kereta, saya terus tidak sedarkan diri.

"Saya hanya sedar di High Dependency Ward (HDW) Hospital Seremban pada hari Khamis 26 Mei, sambil dikelilingi oleh ahli keluarga saya

"Saya diberitahu bahawa saya telah dibawa dengan ambulans kecemasan ke hospital dan menjalani pembedahan selama sembilan jam dari pukul 2 petang sehingga 11 malam," katanya.

Manoharan, yang membangkitkan isu itu di laman Facebook beliau, menuntut jawapan daripada pihak polis.

Malaysiakini telah menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban yang mengesahkan menerima laporan itu, sambil menambah bahawa siasatan sedang dikendalikan oleh seorang pegawai dari Balai Polis Nilai.

- mkini


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP