Polis mengesahkan Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R. Sri Sanjeevan dan pemandunya, seorang lelaki warga India, ditahan kerana dipercayai melakukan ugutan jenayah dan peras ugut berdekatan Plaza Tol Nilai, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang pengadu bahawa suspek mengugut untuk menyiarkan fitnah mengenainya melalui laman sosial Facebook.
"Suspek ditahan pada pukul 10 malam tadi bersama pemandunya selepas menerima wang pelindungan sebanyak RM25,000 daripada pengadu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya polis turut dirampas sebuah kereta jenis Toyota Vellfire, wang tunai RM41,080 dan lima unit telefon bimbit pelbagai jenama.
"Saya menyeru mana-mana pihak yang pernah diugut oleh suspek, tampil bagi membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, di Mahkamah Khas Seremban, polis hari ini telah mendapat perintah tahan reman selama dua hari terhadap pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) itu.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Seremban, Nor Anida Norhamdan.
Dalam pada itu, menurut laporan portal berita, Sanjeevan, 32, yang tinggal di Country Heights, Kajang, ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, sebaik menerima wang perlindungan RM25,000 daripada pengadu, seorang pengusaha perjudian haram berusia 38 tahun.
Menurut laporan itu, dalam tangkapan pukul 10.50 malam itu, polis turut menemui wang tunai RM16,080 dalam kereta suspek.
- Bernama
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment