Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kota Bharu memohon maaf kepada semua pihak dan mengakui kesilapannya apabila menyelitkan persembahan tarian gelek pada majlis perasmian persidangan sayap parti itu kelmarin.
Ketuanya, Wan Salmiah Wan Ghani berkata, pihaknya telah mengambil iktibar daripada kejadian itu dan memberi jaminan tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.
Katanya, persembahan tarian gelek oleh sekumpulan empat ahli Puteri di hadapan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Tajuddin Rahman; Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Fatmi Che Salleh dan Ketua Wanita Bahagian, Madihah Abdul Aziz sebagai tidak wajar.
"Kami juga telah menerima teguran dan nasihat dari pemimpin pelbagai peringkat, kami akur dan amat menyesali di atas kesilapan dari pihak kami sendiri.
"Kami juga sedar bahawa kami masih baru dalam politik dan banyak lagi yang perlu kami pelajari. Insiden ini juga telah memberi satu pengajaran yang amat berharga kepada kami walaupun pahit,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merasmikan persidangan perwakilan pergerakan itu di Kota Bharu.
Tarian gelek itu kemudian menjadi viral secara meluas di media sosial dan aplikasi whatsapp sehingga menimbulkan reaksi serta persepsi negatif dalam kalangan netizen.
Menurut Wan Salmiah, dengan permohonan maaf itu, beliau berharap isu berkenaan tidak akan dipanjangkan lagi.
"Kami berharap isu ini tidak akan dipanjangkan lagi dan semoga semua pihak dapat memaafkan dan memberi peluang kepada kami untuk memperbaiki kesilapan di masa hadapan," katanya. - MalaysiaGazette
Wan Salmiah Wan Ghani |
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment