Baliklah Jho Low, berjolilah di Malaysia, kata PAS
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan ahli perniagaan kelahiran negara ini, Jho Low supaya pulang jika beliau tidak dapat mencari tempat yang selamat berikutan tindankan saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang mengaitkannya dengan dakwaan penyalahgunaan dana berkaitan 1MDB.
Dalam satu kenyataan media yang sarat dengan sindiran, Tuan Ibrahim berkata, memang tidak ada tempat lain yang lebih selamat untuk Low.
“Apabila Jho Low kembali ke Malaysia, yakinlah dia akan dirai. Malah akan dijemput makan bersama oleh VIP-VIP untuk membincangkan projek seterusnya,” katanya.
Tambahan pula, kata Tuan Ibrahim, ahli perniagaan itu pasti lega dan berasa lebih yakin kerana Akta Majlis Keselamatan Negara sudahpun berkuat kuasa.
“Baliklah Jho Low. Tak perlu malu-malu. Nak berjoli, berjolilah di Malaysia, sekurang-kurangnya duit yang ada itu digunakan di dalam negara.
“Malah, kerajaan boleh kutip GST lagi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim berkata,Malaysia Official 1 pun boleh terasa lega, kerana Low tidak akan direman di mana-mana negara.
Menurut pemimpin PAS itu, di Malaysia, 1MDB walaupun kelihatan cacat, akan tetapi ia tidak kelihatan cela dan pelbagai agensi kerajaan menyatakan tiada duit yang hilang daripada 1MDB, dan tiada siapa yang melakukan kesalahan.
“Setakat ini, isu 1MDB masih tiada kes di Malaysia meskipun ia digembar-gembur merata dunia.
“Bukan itu sahaja, malah di Malaysia, mereka yang menyoal 1MDB akan disiasat, bukan sebaliknya.
“Mereka yang meneka siapaMalaysia Official 1 akan dipanggil. Di sini, tiada kes sivil untuk menyita harta meskipun ada duit berbilion masuk ke akaun peribadi,” katanya.
Selain daripada Low, tuntutan mahkamah DOJ juga menamakan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz.
Antara lain, dana 1MDB didakwa digunakan untuk membeli hartanah mewah, karya seni mahal, menyelesaikan hutang judi, dan juga membeli kapal terbang dan kapal layar.
- malaysiakini
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment