Friday 27 December 2013

Kami akan terus guna kalimah Allah di gereja Selangor, kata paderi

Gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Melayu meskipun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menghantar notis peringatan kepada mereka berhubung enakmen negeri melarang bukan Islam menggunakan kalimah itu.

Pengarang mingguan Katolik, Herald, Father Lawrence Andrew (gambar) berkata Artikel 11(3) (A) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan setiap kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal keagamaan mereka sendiri.


“Agama kami tidak boleh diuruskan oleh sebarang kumpulan agama Islam. Ia bertentangan dengan Perlembagaan. Kami akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan kami,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Andrew berkata Jais selaku badan penguatkuasa agama Islam negeri tidak berhak terhadap kumpulan agama lain.

“Pada masa ini, kes perbicaraan masih dalam proses mahkamah dan keputusan belum diputuskan. Mereka tidak boleh membuat penilaian sendiri,” katanya.

Selain gereja Katolik, gereja Kristian lain seperti Sidang Injil Borneo turut mengadakan perhimpunan menggunakan Bahasa Melayu dan dialek lain di Malaysia Timur sekaligus menggunakan kalimah Allah.

Dalam wawancara bersama sebuah portal baru-baru ini, Pengarah Jais Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata pihaknya akan menyenaraikan semua gereja di Selangor sebelum menghantar surat bagi meminta pihak gereja mematuhi Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran kepada Orang Islam) 1988.

“Kami akan mengutus surat kepada semua gereja di Selangor bagi menghormati enakmen tersebut, katanya.

Enakmen yang diluluskan semasa kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor itu turut melarang bukan Islam di Selangor menggunakan 35 perkataan Arab seperti Allah, Nabi, Injil dan Insya Allah.

Banyak badan bukan kerajaan Islam menegaskan kalimah Allah hanya eksklusif kepada umat Islam meskipun Kristian dan agama lain mempunyai pendapat berbeza.

Pada Disember 2009, Mahkamah Tinggi berpihak kepada gereja Katolik apabila mengatakan kalimah Allah tidak eksklusif kepada umat Islam dan Herald boleh meneruskan penerbitannya dalam bahasa Melayu kepada kaum Bumiputera di Malaysia Timur.

Namun, Kementerian Dalam Negeri memohon keputusan tersebut pada Januari 2010.

Pada 14 Oktober tahun ini, Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengatakan “kalimah Allah bukan sebahagian dalam kepercayaan Kristian”.

Pihak gereja membuat rayuan dan perbicaraan akan bermula pada 24 Februari ini.

Keputusan Mahkamah Rayuan tersebut mengundang kegusaran kepada penganut Kristian di Sabah dan Sarawak kerana merasakan keputusan itu tidak sahaja terpakai kepada Herald tetapi penganut Kristian.

Walau bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan kepada penganut Kristian di Malaysia Timur bahawa mereka masih boleh menggunakan kalimah itu kerana kerajaan persekutuan masih mengiktiraf penyelesaian 10 perkara.

Di bawah penyelesaian 10 perkara yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala pada 2011 memutuskan Bible dalam semua bahasa boleh diimport ke Malaysia termasuk berbahasa Melayu/Indonesia.

Penyelesaian 10 perkara turut menyatakan Bible boleh dicetak di Semenanjung Malaysia.
Keputusan Mahkamah Rayuan itu turut mendapat perhatian seluruh dunia dengan ahli teologi Amerika Reza Aslan mengkritik keputusan tersebut


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP