Monday, 23 December 2013

Langkah populis BN tangguh kenaikan harga barang kini ‘makan diri'

Sama ada langkah populis atau Perkasa yang membantu Barisan Nasional (BN) mempertahankan kuasa semasa Pilihan Raya Umum 2013 lalu, kedua-duanya kini “menggigit” gabungan pemerintah itu beberapa bulan selepas pilihan raya 5 Mei.

Langkah BN menangguhkan kenaikan harga dan pelaksanaan akta gaji minimum sebelum pilihan raya umum lalu menyebabkan peningkatan kemarahan kelas menengah dan bawah, terutama yang menyokong gabungan pemerintah itu, kerana kini mereka berdepan dengan peningkatan kos sara hidup dan kejatuhan nilai ringgit.


Keperitan peningkatan kos kehidupan dirasai terutama bagi golongan majoriti Bumiputera – dari perkampungan di Perlis hingga ke rumah panjang di negeri Borneo Sabah dan Sarawak – kawasan di mana kumpulan hak Melayu Perkasa memperluaskan sokongan.

Selain daripada kawasan bandar, ini juga merupakan kawasan di mana bantuan tunai kerajaan dilihat tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas.

Bagi mereka, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) baru RM650 bagi setiap isi rumah dan RM450 bagi yang bujang tidak mencukupi untuk menampung kesan pemotongan subsidi gula dan petrol atau kenaikan tarif elektrik, kadar tol dan tambang pengangkutan awam di Kuala Lumpur.

Semasa kempen Pilihan Raya Umum 2013, BN membayangkan BR1M mungkin meningkat sehingga RM1,200 setahun tetapi semasa Bajet 2014 dibentangkan, kerajaan hanya memperuntukkan RM650 bagi setiap keluarga dengan RM50 untuk bayaran insuran.

Bajet yang sama juga mengandungi cadangan memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar 6% bermula April 2015 di mana pengkritik mengatakan akan meningkatkan kos kehidupan.

Tetapi kerajaan percaya sebaliknya iaitu GST akan menurunkan harga barangan dan perkhidmatan.

Hujah ini tidak relevan kepada rakyat Malaysia yang bekerja dan Perkasa kini memperluaskan sokongan kepada golongan ini dan presidennya, Datuk Ibrahim Ali, semalam berkata mereka mampu menggantikan Umno sebagai tunjang BN.

“Jika Umno penat, letih dan tidak bertaring, kami daripada Perkasa boleh ambil alih tempat kamu,” kata Ibrahim semasa Persidangan Perkasa ke-4 di Kuala Lumpur semalam.

Beliau turut mempunyai keberanian untuk menetapkan petunjuk utama prestasi (KPI) untuk pemimpin tertinggi kerajaan.

"Macam-macam (harga barang) naik dan keadaan ekonomi negara kalau kita baca statistik berada dalam keadaan yang cukup membimbangkan.

“Jadi, salah satu KPI untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah kos kehidupan,” kata Ibrahim.

Respon kerajaan mengenai rungutan peningkatan kos kehidupan adalah untuk menubuhkan makmal bagi mengkajinya dan akan membuat cadangan selain mengkaji untuk meningkatkan gaji selari dengan peningkatan harga barang.

Kedua-duanya dilihat jauh daripada realiti sebenar atau merupakan pengakuan BN tidak mempunyai jaringan akar umbi untuk mengkaji rakyat Malaysia bekerja atau sekurang-kurangnya memberitahu mereka peningkatan kos tidak dapat dielakkan kerana kos perniagaan meningkat.

“Kita terpaksa menelan kepahitan ini, tetapi Umno hanya mahu menjadi popular daripada melakukan sesuatu yang sepatutnya untuk negara,” kata seorang pemimpin Umno kepada The Malaysian Insider.

“Apa yang mereka lakukan selama ini hanya menangguhkan kenaikan harga barang. Sekarang kita berdepan dengan kebanjiran kenaikan harga barang dan pemotongan subsidi. Sudah tentu orang akan marah, terutama yang mengundi kita,” katanya. – tmi



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP