Sunday, 8 December 2013

Blogger Umno Gesa Najib Buang Menteri Dan Ganti Dengan Rosmah

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times Press (NSTP), Datuk A. Kadir Jasin hari ini menggesa Datuk Seri Najib Razak mengkaji semula peranan menteri-menteri Kabinet selain melantik Datin Seri Rosmah Mansor sebagai menteri.

Katanya, melalui pelantikan itu, tiada pihak yang boleh membantah campur tangan Rosmah atau menuduh Najib dan anggota Kabinet menyalahgunakan kuasa dengan membenarkan penggunaan kemudahan kerajaan.


“Saya dah berbuih mulut mencadangkan agar Rosmah masuk politik dan dilantik menjadi menteri. Malah ke jawatan Perdana Menteri jika mendapat kepercayaan rakyat jelata.

“Walaupun pilihan raya umum telah berlalu, Najib dan penyokong Rosmah masih boleh melakukannya dengan melantik beliau sebagai senator dan seterusnya menteri. Jawatan yang sesuai bagi beliau ialah Menteri Tugas-Tugas Khas,” katanya dalam tulisan di blognya bertajuk “PAU 2013: Antara Cinta dan Jasa”.

Najib semasa ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2013 semalam menyebut dua peristiwa jasa Rosmah kepada negara.

Katanya bantuan pertama adalah menolong membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Mesir kerana disyaki pengintip dan kedua menggunakan hubungan baik dengan keluarga diraja Arab Saudi membenarkan pelajar Malaysia yang lari daripada pemberontakan Mesir untuk masuk ke negara tanpa visa.

Kadir berkata, berdasarkan sumbangan Rosmah tersebut adalah lebih baik Najib menimbang semula kedudukan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Begitu juga kedudukan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim kerana Rosmah juga terlibat di sana sini dalam tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh menteri berkenaan.

“Dengan cara ini kita boleh menggugurkan menteri yang berprestasi rendah sekaligus menjimatkan perbelanjaan negara dengan mengurangkan bilangan kementerian,” katanya.

Kadir turut menolak hujah perwakilan Wilayah Persekutuan semasa perhimpunan Umno tempoh hari yang mendakwa semua lelaki tidak sayangkan isteri kecuali Najib.

Katanya, media melaporkan Affandi berkata isteri Perdana Menteri seharusnya dibenarkan menggunakan jet eksekutif kerajaan demi memberi ketenangan kepada suaminya.

“Saya sangat berkecil hati dengan tuduhan ini. Saya bantah sekeras-kerasnya tuduhan itu. Tidak mengapalah kalau Affandi hendak pertahankan Najib dan Rosmah. Itulah pun tugas pembahas PAU 2013.

“Tetapi kalau benar dia mengatakan lelaki lain tidak sayang isteri, saya rasa itu satu penghinaan yang sangat dahsyat. Bayangkan tekanan emosi Najib jika sesuatu yang buruk berlaku kepada isterinya. Beliau sayangkan isterinya,” katanya.

Affandi dalam ucapannya dalam Perhimpunan Agung Umno berkata, jika Rosmah berada dalam jet eksekutif, Najib tidak perlu bimbang keselamatannya dan menambah orang bodoh pun tahu penerbangan dengan jet eksekutif lebih mahal daripada terbang dengan jet komersial tetapi ia perlu dilihat daripada aspek keselamatan.

“Bolehkah anda bayangkan tekanan emosi yang akan Perdana Menteri tanggung sekiranya sesuatu buruk berlaku kepada isterinya ketika terbang dengan pesawat komersial?” kata Affandi.

Rosmah dikritik hebat oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bulan lalu kerana menggunakan jet eksekutif milik kerajaan untuk lawatan peribadinya ke Timur Tengah. – The Malaysian Insider


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP