Sunday 22 December 2013

The Heat: Kalau anak jantan apa nak takut, sindir wartawan veteran

Susulan penggantungan akhbar The Heat tanpa sebarang alasan konkrit, bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press Berhad, Datuk A Kadir Jasin, berkata langkah berkenaan bukan tindakan proaktif kerana sesetengah akhbar semakin berkembang selepas digantung.

Mengambil contoh akhbar milik MCA, The Star dan Sin Chew Daily yang digantung penerbitannya pada 1987, kedua-dua akhbar berkenaan kini menjadi akhbar utama bacaan rakyat.


"Bagi The Star dan Sin Chew, penggantungan meningkatkan profil dan jualan mereka apabila mereka kembali diterbitkan," kata Kadir dalam blognya.

Tindakan Putrajaya menggantung The Heat, katanya, adalah mengulangi kesilapan lama, seperti ketika pemimpin kerajaan mengkritik blog vokal suatu ketika dahulu yang kemudiannya memberikan publisiti kepada blog berkenaan.

Ketika serangan terhadap blog-blog berkenaan, Kadir berkata, ada menteri yang menggelar mereka sebagai "goblok" (perkataan bahasa Jawa yang bermaksud bodoh) dan "penembak curi", dan Khairy Jamaluddin yang ketika itu pembantu kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menggelar mereka monyet.

"Serangan terhadap blog dilaporkan secara meluas oleh media arus perdana.

"Ia menjadikan rakyat tertanya-tanya dan mereka mula mencari blog berkenaan di internet dan menjadi pengikut blog berkenaan," katanya.

Akhbar mingguan The Heat dikatakan digantung penerbitannya berikutan laporan muka hadapan berkenaan perbelanjaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sebaliknya berkata, The Heat digantung kerana mereka tidak memaklumkan berlaku pertukaran pemilikan dan hala tuju daripada sebuah akhbar perniagaan.

“Permit penerbitan The Heat mensyaratkan pemilik untuk memberitahu KDN jika berlaku pertukaran pemilikan.

“Tambahan pula, permit adalah untuk akhbar perniagaan mingguan. Bagaimanapun, syarat ini dilanggar,” kata KDN dalam satu kenyataan lewat petang semalam.

The Heat dilancarkan September lalu digantung pada minggu ini selepas menerima surat tunjuk sebab kedua daripada KDN.

"Sepanjang pengetahuan saya, Pejabat Perdana Menteri mempunyai ramai individu memerhatikan media untuknya, termasuk Kumpulan Tindakan Komunikasi (CAG)," kata Kadir. – tmi


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP