Wednesday, 18 December 2013

SMS Palsu Dan Fitnah Kerajaan Selangor

KLANG 17 DIS : Pemberian baucer RM200 untuk Program ‘Jom Shopping Kembali Ke Sekolah’ untuk anak Selangor yang disebar luas dalam sistem pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi ‘Whatsapp’sejak semalam adalah palsu. 

Justeru, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berharap orang ramai khususnya ibu bapa tidak terpengaruh fitnah yang sengaja dimainkan pihak tidak bertanggungjawab. 


“Ini SMS tidak bertanggungjawab yang sengaja menyusahkan dan mengelirukan semua pihak selain mengecewakan ibu bapa khususnya mereka yang berpendapatan rendah. 

“Kesannya, semua 56 Pusat Khidmat DUN dan Pejabat Ahli Parlimen dihujani panggilan daripada rakyat berhubung dakwaan pemberian baucer itu,”katanya. 

Sejak semalam, SMS pemberitahuan pemberian baucer RM200 untuk membeli barangan keperluan sekolah kononnya dari Kerajaan Selangor di bawah Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, disebar luas. 

Dengan menetapkan syarat penerima dari kalangan murid darjah satu hingga tingkatan enam atas hanya perlu membawa kad pengenalan dan hadir bersama ibu bapa (pengundi Selangor) boleh menebus baucer itu di semua pasar raya kecuali MyDin dan Kedai 1Malaysia. 

SMS itu juga memaklumkan, baucer boleh diambil di seluruh Pusat Khidmat DUN mulai 16 Disember hingga 28 Disember depan. 

Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Selat Klang membuat laporan polis kira-kira jam 11.00 malam semalam selepas menyedari kewujudan SMS fitnah itu. 

Selangor Kini difahamkan,PKM Selat Klang menerima lebih 3,000 panggilan telefon dari orang ramai serata Selangor dalam tempoh kurang 24 jam yang bertanya pemberian baucer itu. 

“Terdapat beberapa keraguan yang jelas dalam sebaran SMS tersebut. Kerajaan Selangor tidak menggunakan istilah ‘Pengajian Tinggi’ sebaliknya ‘Pendidikan Tinggi’ untuk portfolio pendidikan. 

“Nombor telefon pegawai dalam SMS itu juga tidak tepat kerana ia nombor pegawai PKM DUN Selat Klang, bukannya nombor pegawai dari pejabat Exco Pendidikan. 

“Kerajaan Selangor tidak pernah membuat pengumuman rasmi pemberian baucer RM200. Sebaliknya hanya memberi baucer RM30 untuk keluarga berpendapatan rendah untuk membeli kasut sekolah anak-anak di BATA,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media di PKM DUN Selat Klang di sini, hari ini. Hadir sama Ahli Parlimen Kapar Manivanan Gowin dan pegawai PKM DUN Selat Klang. 

Sementara itu, Manivanan Gowin yang juga merupakan seorang peguam menyifatkan penyebaran SMS fitnah itu bertujuan memburuk-burukkan pentadbiran Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat. 

“Seolah-olah ia dari Kerajaan Selangor. Perkataan kecuali MyDin dan Kedai 1Malaysia sengaja dikaitkan kononnya Kerajaan Pakatan Rakyat anti dan boikot kepada pasar raya yang ada kaitan dengan Kerajaan Pusat. 

“Kebetulan hari ini PKM Selat Klang serahkan baucer (RM30-Kasut Sekolah) dan sebaran SMS pula semalam. Jadi, nampak sangat ia dirancang rapi untuk memburuk-burukkan Kerajaan Negeri dan Dr Halimah,” kata Manivanan. -selangorku


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP