Tuesday, 31 December 2013

Bom Yang Akan Diletupkan Malam Ini Ditemui Polis

Polis tahan lelaki miliki bom buatan sendiri

SHAH ALAM - Polis menahan seorang lelaki tempatan bersama-sama sebutir bom buatan sendiri di Taman Halaman, Ampang, Ahad lepas, yang dipercayai hendak diletupkan pada sambutan ambang tahun baharu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, bom berupa paip PVC dirampas dari suspek berumur 46 tahun ketika beliau sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan pada pukul 10.25 pagi di sekitar lampu isyarat Taman Permai, Ampang.


"Suspek melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan polis apabila motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar sebuah kenderaan di Taman Halaman, Ampang.

"Pemeriksaan yang dibuat ke atas beg silang suspek, polis menjumpai sebutir bom buatan sendiri berupa paip PVC yang mempunyai sumbu bersama mercun botol disyaki bahan letupan.

"Siasatan mendapati suspek yang dalam keadaan khayal ketika ditahan memberitahu beliau belajar membuat bom menerusi internet," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Abd Rahim berkata siasatan awal mendapati suspek yang bekerja di sebuah kedai peralatan sembahyang di Serdang hendak meletupkan bom itu pada sambutan ambang tahun baharu dan polis masih siasat sasaran tempat bom itu hendak diletupkan.

Beliau berkata pihaknya turut menyiasat kemungkinan sama ada bom itu akan digunakan untuk tujuan perhimpunan haram di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini.

"Polis bimbang dengan isi kandungan bom itu yang dimampatkan dengan belerang, paku dan kaca yang boleh mendatangkan kecederaan serius dan berkemungkinan kematian apabila diletupkan," katanya.

Abd Rahim berkata hasil semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau termasuk kes dadah dan samun.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

- Bernama

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP