Sunday 18 August 2013

Anak Nazri kini bertukar jadi pegawai khas parlimen Padang Rengas

Anak kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz iaitu Nedim Mohamed Nazri yang sebelum ini disenaraikan sebagai pegawai khas kementerian itu kini bertukar menjadi pegawai khas kepada ahli parlimen Padang Rengas selepas portal rasmi kementerian dikemaskini pada 16 Ogos.

Sebelum ini, timbul kontroversi apabila portal rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menyatakan Nedim sebagai pegawai khas kepada bapanya.


Kontroversi timbul kerana ramai pihak mendakwa Nazri mengamalkan nepotisme dengan membawa ahli keluarganya bekerja di kementerian.

Agensi berita nasional Bernama melaporkan semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengatakan menteri tidak boleh mengambil ahli keluarga bertugas di kementerian.

"Ini prinsipnya, prinsipnya ahli keluarga tidak boleh ditempatkan di pejabat menteri," katanya.

Najib bagaimanapun berkata tiada masalah jika seseorang menteri atau anggota pentadbiran kerajaan mengambil anggota keluarganya sebagai pembantu jika ia tidak membabitkan sebarang pembayaran gaji atau elaun oleh kerajaan.

Perubahan dalam portal rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengenai kedudukan Nedim dilihat selari dengan kenyataan Najib semalam.

The Malaysian Insider melaporkan pada Rabu penjelasan Nazri bahawa Nedim tidak dibiaya oleh kerajaan. Menurut Nazri, gaji Nedim dibayar sendiri olehnya.

Nazri menjelaskan enam pegawai lain di kementeriannya dibayar oleh kerajaan seperti Datuk Azlinda Mohd Rashad (setiausaha sulit kanan), Dr Jurij Jalaludin (setiausaha sulit), Datuk Mohamed Ismail Mohamed Othman (setiausaha politik), Ahamad Fazli Ahamad Nordin (setiausaha akhbar), Suzana Akmam Selamat Amir (pegawai tugas khas) dan Shahadan Osman (pegawai pengiring).

Nazri turut memberitahu beliau tidak akan menggugurkan jawatan anaknya semata-mata untuk menggembirakan sesetengah pihak malah kedudukan beliau dahulu sebagai peguam membuatkannya faham situasi tersebut.

Katanya, beliau boleh meletakkan sesiapa sahaja dalam kementeriannya dan gembira melantik anak sendiri sebagai pegawai khas. - TMI

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP