Thursday 29 August 2013

Gani Patail Masih Belum Mahu Bersara

Jabatannya lebih banyak kalah daripada menang dalam kebanyakan kes berprofil tinggi, dengan terbaru minggu lalu apabila Mahkamah Rayuan membebaskan dua anggota polis yang didakwa membunuh penterjemah Mongolia Altantuya Shariibuu, kerana pihak pendakwaan gagal membawa saksi utama.

Jabatannya juga dituduh melakukan pendakwaan terpilih, terutama ahli politik Melayu seperti Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Zulkifli Noordin yang seharusnya didakwa menggunakan undang-undang hasutan kerana mengugut untuk membakar kitab Injil berbahasa Melayu dan menghina agama Hindu.


Tidak mengejutkan jika desakan supaya Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) untuk meletak jawatan semakin kedengaran. Tetapi desakan itu serta kritikan terhadap Jabatan Peguam Negara tidak memberi kesan kepadanya.

“Saya akan tentukan bila untuk berhenti. Saya boleh berhenti atau mengambil bersara pilihan sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur.

Beliau dilaporkan berkata kepada sebuah portal berita: "Perdana menteri pun digesa untuk letak jawatan, inikan pula saya."

Gani sudah menjadi Peguam Negara sejak 2002 dan mempunyai dua tahun sebelum mencecah umur bersara. Tetapi ramai yang berminat dengan jawatan Gani, malah, seorang peguam terkemuka memberitahu Putrajaya keinginannya untuk mengambil alih jawatan Peguam Negara.

Baru-baru ini, terdapat spekulasi menyatakan kerajaan memulakan langkah untuk meletak hakim kanan ke jawatan itu, tetapi Gani mendapat sokongan kuat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Terdapat desakan sama semasa pemerintahan Tun Abdullah Badawi supaya perdana menteri menyingkirkan Gani kerana kelemahan Jabatan Peguam Negara dalam kes berprofil tinggi.

Tetapi Abdullah tidak berjaya menyingkirkan Gani. Berjaya bertahan semasa pemerintahan dua perdana menteri dan mendapat sokongan yang ketiga, Gani mungkin tidak akan mengambil bersara pilihan sendiri.

Jabatan Peguam Negara diselar lagi minggu lalu apabila Mahkamah Rayuan mengarahkan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azahar Umar dibebaskan daripada tuduhan membunuh Altantuya dari 2006, kekasih Abdul Razak Baginda, bekas penasihat Najib.

Di antara sebab utama adalah kerana kegagalan memanggil Timbalan Supritendan Musa Safri, bekas pembantu Najib sebagai saksi. Ini menyebabkan Jabatan Peguam Negara diselar oleh pemimpin pembangkang dan peguam.

Sebagai tambahan, terdapat kritikan terhadap Gani kerana gagal mengambil tindakan terhadap kumpulan Melayu berhaluan kanan, Perkasa.

Pemimpin Perkasa, Ibrahim pernah menggesa pembakaran al-Kitab yang mempunyai perkataan “Allah” manakala Zulkifli pula menghina agama Hindu secara terbuka dalam satu klip video.

Selain itu, selepas pilihan raya umum 5 Mei, bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah memberi amaran kepada masyarakat Cina supaya bersiap sedia untuk menerima balasan daripada Melayu kerana membelot Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU13).

Tetapi Gani menyelar pengkritiknya dalam portal Malaysia Gazette: "Jadi, adakah saya perlu dakwa semua orang. Semua orang pun dahsyat apabila berkata mengenai kaum lain sedangkan dalam isu agama dan perkauman kita perlu lebih toleransi.”

“Saya tidak mahu menggali kubur untuk kerajaan hanya semata-mata untuk popular.”

Peguam Negara ketiga paling lama berkhidmat itu mengatakan beliau tidak bimbang dengan bakal penggantinya kerana Pejabat Peguam Negara mempunyai beberapa calon.

"Tun Majid (Tun Abdul Majid Hamzah) boleh. Wanita pun boleh. Di sini bukan saya bekerja seorang, kami bekerja bersama-sama dan setiap orang mempunyai kepakaran,” katanya.

Tan Sri Abdul Kadir Yusof adalah Peguam Negara paling lama berkhidmat iaitu selama 14 tahun manakala Tan Sri Abu Talib Othman selama 13 tahun.

Gani berkata, ada juga `orang' Umno yang marah kononnya beliau gagal menangani isu agama dan kaum.

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Peguam Negara sejak dari dahulu sentiasa berhati-hati dalam menangani isu agama dan perkauman.

"Dalam isu agama, kalau kes didakwa di mahkamah perkara akan menjadi heboh, lagi orang akan marah,” katanya dan menambah perkara ini perlu dilihat dengan gambaran besar.

"Masa sudah berubah dan kalau kalau kita tengok di luar negara kalau sesuatu perkara berlaku memberi impak yang buruk, baru pertuduhan dikenakan,” katanya. – TMI

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP