Tuesday, 20 August 2013

Zalim.. Guru Diberhentikan Kerja Hanya Kerana Sambung Belajar

Ismail menunjukkan surat pemberhentian kerja yang diterima menyebabkan kehidupannya sekeluarga terumbang-ambing.

PERAI - Seorang bekas guru kecewa selepas mendakwa ditamatkan perkhidmatan tanpa dipanggil untuk membela diri di atas tindakannya menyambung pelajaran di peringkat ijazah di sebuah universiti.Ismail Omar, 57, berkata, lebih menyedihkan lagi apabila dia diberhentikan kerja ketika perkhidmatannya sebagai guru berbaki hanya setahun sebelum berpencen.

“Saya terkilan dikenakan tindakan tatatertib dan diberhentikan kerja sebagai guru ketika hampir pencen, sedangkan sudah berkhidmat selama 30 tahun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tun Hussin Onn di sini.


Ismail berkata, kerana hukuman itu dia kehilangan segala hak dan faedah termasuk pencen, selain seolah-olah melakukan satu kesilapan besar walhal dia hanya menyambung pelajaran.Menurutnya, dia memohon cuti untuk menyambung pelajaran dengan bergaji penuh, selain mendakwa mengikut segala peraturan ditetapkan.

“Selepas 10 bulan mengikuti kuliah, saya diberitahu permohonan untuk bercuti bagi menyambung pelajaran tidak diluluskan dan perlu kembali menyambung tugas.“Saya mengikut arahan yang diberikan dan berhenti belajar sebelum menyambung semula tugas sebagai guru,” katanya.

Ismail mendakwa, selain tidak menerima gaji, dia dikatakan berhutang kepada kerajaan serta diminta membayar hutang berjumlah RM22,279.

“Sudahlah saya tidak menerima gaji, malah disuruh membayar hutang pula dan saya tidak mempunyai wang simpanan lagi,” katanya.Menurutnya, dia terpaksa memohon pertukaran sekolah yang berhampiran dengan rumahnya di Seberang Jaya kerana tanpa gaji, dia tidak mampu untuk berulang alik ke sekolah di Bayan Baru.

“Permohonan saya berjaya dan saya bertugas seperti biasa selain turut mendapat gaji seperti sebelum ini, namun saya terkejut apabila diberi surat diberhentikan kerja pada Disember 2011,” katanya. Dia yang kecewa berasa teraniaya selain berharap pihak terlibat dapat menilai kembali konflik yang dihadapi kerana masih perlu menyara isterinya yang menghidap strok dan dua anaknya masih belajar.

“Saya sudah tidak tahu untuk mengadu kepada siapa dan jalan terakhir adalah dengan meminta bantuan media,” katanya yang terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menyara keluarga.Sementara itu, Pengarah Pelajaran Pulau Pinang Ahmad Tarmizi Kamaruddin ketika dihubungi berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) sudah mengambil tindakan itu kerana Ismail tidak mengikut prosedur yang betul sebagai penjawat awam. Katanya, Ismail diberhentikan dengan cara yang betul selepas siasatan yang dijalankan SPP yang mendapati dia telah ingkar.

“Bukan senang untuk memberhentikan seorang penjawat awam sekiranya tidak membuat kesalahan namun kita mendapati, dia telah ingkar terhadap tanggungjawabnya,” katanya.

Sumber - kedahlanie

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP