Saturday, 17 August 2013

Kerajaan Tarik Balik PR Pemilik Surau

KUALA LUMPUR: Taraf pemastautin tetap (PR) pemilik resort Kampung Sedili Besar di Kota Tinggi, Johor dilucutkan serta-merta ekoran sikap lelaki kelahiran Singapura itu yang tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini merupakan kali pertama kerajaan mengambil tindakan yang sebegini tegas.


"Tindakan ini dibuat selepas kementerian melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat kajian mendalam terhadap pemilik itu, pasal taraf pemastautin tetap ini hanyalah satu kemudahan yang diberikan kerajaan Malaysia dan bukan satu bentuk keistimewaan," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Persatuan Pengasih di sini hari ini.

Pada 10 Ogos lepas, lelaki berusia 45 tahun yang merupakan pemilik sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi membenarkan surau resort berkenaan digunakan untuk upacara keagamaan penganut Buddha.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan mempunyai hak untuk berbuat demikian terutama ke atas individu yang melakukan perkara di luar perundangan terutama yang berkait dengan kesucian agama Islam.

"Saya harap penerima pemastautin tetap di negara ini menjadikan isu ini sebagai satu pengajaran dan jangan salah gunakan kemudahan yang telah diberi atas kemurahan hati kerajaan Malaysia," katanya.

"Lelaki tersebut tidak sensitif kepada umat Islam di Malaysia keseluruhannya malahan telah meremehkan Islam sebagai agama rasmi negara ini, katanya.

Katanya, penganut agama Buddha yang menggunakan surau itu pada mulanya telah memohon kebenaran kepada pemilik resort untuk menggunakan dewan resort berkenaan, namun disebabkan dewan telah ditempah, pemilik membenarkan surau digunakan.

"Sepatutnya, dia sebagai umat Islam tahu akibat perbuatannya itu," katanya Ahmad Zahid.

"Tindakan tegas ini diambil disebabkan ia menyentuh sensitiviti agama...itu sahaja dan tindakan yang serupa juga akan diambil kalau ada orang menghina agama-agama yang lain juga," katanya.

Dengan perlucutan taraf pemastautin tetap tersebut, lelaki berkenaan yang sudah berkeluarga tidak lagi dibenarkan bekerja atau memiliki aset perniagaan kecuali terpaksa mendapatkan permit kerja yang sah atau mempunyai rakan kongsi yang bertaraf warganegara Malaysia.

Terdahulu, dalam ucapannya Ahmad Zahid mencadangkan agar sebuah badan tunggal diwujudkan sebagai payung kepada pelbagai agensi penguatkuasaan dadah di negara ini.

Beliau turut menyeru sektor korporat agar tampil membantu dan bergiat aktif dalam usaha pemulihan dan pencegahan dadah walaupun Malaysia sudah mencapai kejayaan menangani musuh nombor satu negara itu.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP