“Pembunuhan bapa saya dirancang, ia ada kaitan dengan sindiket penyeludupan kereta di langkawi," kata Mohd Akhtar Shaharuddin kepada The Malaysian Insider minggu ini. Malah beliau sendiri yakin dalang pembunuhan bapanya adalah dari jabatan Kastam sendiri."Saya pasti akan hal itu biarpun polis menafikannya," kata arkitek berumur 30 tahun itu.
"Bapa saya pernah menceritakan kekecewaan beliau terhadap penyelewangan kuasa pegawai kastam yang terlibat dalam rasuah ini berkaitan dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.
"Tidak lama selepas membuat aduan itu, beliau menerima surat pertukaran kerja. Surat itu, bagaimanapun ditarik balik apabila Kesatuan Kastam campurtangan dan berjuang mempertahankan hak bapa saya," katanya.
Sebulan selepas itu, Shaharuddin ditembak ketika sedang memandu ke pejabatnya di Putrajaya."Tidak ada siapa faham kehilangan orang tersayang dengan cara kejam begini kecuali bagi mereka yang pernah melalui sendiri kerana itu saya amat berharap kematian bapa dibela," katanya.
Yang lebih menyedihkan Akhtar, empat bulan selepas bapanya ditembak mati, tiada sesiapa didakwa kerana membunuh. Pertama kali bercakap kepada media, Akhtar mengatakan bapanya menerima panggilan daripada pemberita bertanya tentang sindiket penyeludupan kereta di Langkawi, beberapa minggu sebelum ditembak mati.
Tanpa berfikir panjang, orang nombor tiga dalam Kastam itu ke Langkawi untuk menyiasat."Beliau merupakan seorang yang tegas dan tidak pernah menceritakan apa-apa masalah tentang kerja dengan keluarga.
Namun saya diberitahu oleh ibu, seorang wartawan ada menelefon bapa saya bertanyakan mengenai isu sindiket penyeludupan kereta di Langkawi," kata Akhtar.
Akan tetapi beliau tidak pasti sama ada bapanya sempat bercakap dengan pemberita itu selepas pulang dari Langkawi.Akhtar turut mendedahkan bapanya menerima banyak ugutan termasuk peluru dihantar ke rumah mereka.
Menurutnya, beliau membuat pendedahan kerana kecewa dengan layanan dingin diberikan polis ke atas siasatan kes bapanya."Bayangkan sudah hampir berapa bulan kes ini berlaku jangan kata suspek malah sebarang petunjuk tidak diberikan polis," katanya.
Katanya kali terakhir dia berjumpa dengan polis pada bulan Ramadan lalu setelah digesa beberapa kali untuk mendapatkan perkembangan siasatan."Dalam tempoh berapa bulan selepas kejadian saya hanya berjumpa dengan polis dalam dua atau tiga kali.
"Bagaimanapun selepas sebulan mereka langsung senyap dan saya terpaksa mengejar polis untuk mengetahui perkembangan kes," katanya.Menurut Akhtar, layanan diberikan polis terhadap kes bapanya dianggap tidak adil walaupun bapanya merupakan pegawai tinggi kerajaan yang banyak menyumbang kepada negara.
"Kita bercakap tentang pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah, siapa beliau.. tidakkah jasa beliau tidak ternilai kepada negara jadi kenapa memperlakukan keluarga kami begini,” katanya kecewa.Tegas Akhtar beliau hanya mahu keadilan bagi bapanya.
"Bapa saya seorang berdedikasi dan pegawai jujur tidak pernah mengambil kesempatan terhadap kelebihan dimiliki walaupun dia boleh berbuat demikian," katanya lagi.
Shaharuddin yang mengetuai bahagian Pekastaman dan Cukai Dalam Negeri hanya tinggal setahun untuk bersara sebelum ditembak mati pada 26 April.Beliau yang dilahirkan di Negeri Sembilan itu sudah berkhidmat selama 30 tahun bersama Kastam dan diberikan jolokan "Mr Clean".
Mangsa yang duduk di bahagian penumpang depan kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditembak tiga das oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah dilapor menafikan kaitan pembunuhan Shaharuddin dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.
“Ia merupakan spekulasi semata-mata,” Ku dilaporkan berkata.Laporan sebelum ini mengatakan polis sudah menyiasat 35 orang untuk kes ini termasuk pegawai-pegawai Kastam dan menahan dua orang untuk siasatan lanjut.
Seorang daripadanya merupakan ahli perniagaan dan seorang lagi merupakan pengedar alat ganti. Kedua-duanya kemudian dibebaskan dengan jaminan.Ku yang dihubungi semula berhubung pendedahan terbaru ini mengatakan, "kami masih menyiasat".
Kes tembak itu berlaku tidak lama sebelum pilihan raya umum ke 13. Kes itu mengejutkan kerana ianya melibatkan pegawai tinggi kerajaan.Selepas kes Shaharuddin, 35 kes tembakan berlaku di seluruh negara yang melibatkan 22 kematian.
~the malaysian insider
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment