Sunday, 1 December 2013

10 lagi pengikut ‘Tuhan Harun’ diburu




Kota Kinabalu: Sepuluh lagi pengikut ajaran sesat 'Tuhan Harun' kini diburu polis, bagi melengkapkan siasatan pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd Malek, yang ditembak pada 10 November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata walaupun individu penting kumpulan itu termasuk ketuanya, Harun Mat Saat, sedang berada dalam tahanan, saki baki ahli ajaran sesat itu masih dikehendaki bagi melengkapkan siasatan.

Beliau berkata, pasukan khas yang ditubuh bagi menyiasat pembunuhan terbabit sedang memburu baki pengikut terbabit yang dipercayai masih berada dalam negara.

Jumpa pistol

“Setakat ini, 13 individu termasuk ‘Tuhan Harun’ dan dua wanita dalam tahanan polis yang turut menjumpai pistol yang dipercayai digunakan bagi membunuh pegawai JAIP terbabit.

“Hasil penemuan dan penangkapan individu itu, kita berjaya menyelesaikan kes ini tetapi masih mencari 10 individu yang boleh membantu menyelesaikan siasatan,” katanya pada perasmian Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, semalam.

Seminar anjuran bersama Kerajaan Sabah, Kementerian Dalam Negeri, UMS, Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM), polis dan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) itu dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Pengarah ESSCOM, Datuk Mohammad Mentek; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah.

Masih siasat motif pembunuhan

Dalam serbuan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak Selasa lalu hingga kelmarin, polis menahan 10 pengikut ajaran sesat itu termasuk seorang wanita.

Susulan tangkapan itu, polis merampas pistol dipercayai ada kaitan dengan pembunuhan Ahmad Raffli, 47.

Tangkapan itu juga susulan siasatan terhadap Harun yang ditahan bersama isteri serta anak lelakinya di Tangkak, Johor, pada 20 November lalu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai motif pembunuhan terbabit, Khaled berkata, “Kita masih siasat, tunggulah masa perbicaraan (di mahkamah) nanti baru tahu.”


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP