Selepas membeli trak Mack buatan Australia, Sultan Johor dilaporkan akan membina rumah di bandar Perth pula. — Foto Bernama |
PERTH, 29 Jul ― Sultan Johor dilaporkan sedang membina sebuah rumah mewah di atas sebidang tanah yang masih belum dibangunkan di sebuah kawasan ekslusif di pinggir barat bandar Perth, Australia.
Rumah tiga tingkat itu akan dibina berhampiran sungai selepas bekas tapak kuarters jururawat itu dibeli Sultan Ibrahim Ismail dengan harga A$8.5 juta (RM25.9 juta).
Portal BBC melaporkan pembelian tanah tersebut mulanya ditentang pihak berkuasa tempatan yang mahu memelihara pemandangan dari tapak Hospital Sunset, yang tersenarai sebagai kawasan warisan.
Bagaimanapun, datuk bandar Perth bertukar pendapat bahawa “rumah elegan” yang bakal dibina itu akan dapat menyesuaikan diri dengan kawasan sekitarnya.
Sultan Ibrahim dan Permaisuri Raja Zarith Sofiah sudah beberapa kali melawat Australia, dan dilaporkan mempunyai pelbagai kenangan manis percutian keluarga bersama enam anak mereka di tepi pantai.
Pada bulan Mac lepas, baginda baru sahaja menerima sebuah pesawat jet peribadi, bercat emas dan biru yang berlambangkan negeri Johor di bahagian ekor dan bendera di bahagian badan.
Pesawat itu turut dilengkapi dengan ruang makan, bilik tidur dan ruang mandi, dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan termasuk 18 bulan bagi kerja pengubahsuaian dalaman
Selain pengangkutan udara, Sultan Ibrahim juga seorang pengumpul kenderaan mewah termasuk kereta, motosikal dan trak.
Baginda sebelum ini memiliki track Mack termahal di dunia buatan Australia yang harganya dianggarkan RM1.5 juta.
Baginda juga berjaya membida nombor pendaftaran kenderaan F1 dengan nilai RM836,660 awal bulan ini, dan menggunakannya untuk kereta tempatan Proton Perdana keluaran terbaru.
- themalaymailonline
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment