Friday, 8 July 2016

Husam Rayu Raja-Raja Titah Dedah Laporan Audit Negara 1MDB



Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa memohon kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu supaya menitahkan pengubahan status laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, berikutan pendedahan di laman web Sarawak Reportsemalam.

Katanya, tindakan itu bagi membolehkan rakyat membaca apa yang sebenarnya berlaku kerana laporan itu kini diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Bolehkah Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu menitahkan baginda diberikan taklimat khas oleh Ketua Audit Negara? Serta menitahkan satu salinan laporan ini diberikan kepada mereka?

“Kemudian, Raja-Raja menitahkan ia dikelaskan semula sebagai bukan OSA. Diedarkan untuk dibaca oleh seluruh rakyat,” kata Husan yang juga adalah ADUN Salor dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas pendedahan oleh portal Sarawak Report yang menerbitkan apa yang didakwanya sebagai butiran laporan Ketua Audit Negara, Husam berkata, hanya rakyat Malaysia yang "gila" tidak akan sensitif dengan jumlah wang sebegitu besar yang diselewengkan itu.

“Bagaimana negara boleh membaca laporan penting ini secara sah?

“Bagaimana tindakan mengOSAkan penyelewengan ini dijadikan sebagai satu jenayah?

"Saya agak, Tengku Mahkota Johor saja, sudah layak menitahkan sedemikian jika sebenarnya PM (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) menghormati Raja-Raja dan tidak ada jenayah yang hendak ditutup,” katanya.

Semalam, laman web pendedah maklumat yang berpangkalan di London itu menerbitkan beberapa kandungan apa yang didakwa sebagai laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB walaupun dokumen berkenaan diklasifikasikan sebagai sulit.

"Sarawak Report telah mendapat akses meluas kepada laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, bersama-sama dengan dokumen utama yang disertakan hasil siasatan itu," katanya.

Laman itu menyenaraikan pelbagai kebimbangan yang dicatatakan oleh Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya, terutamanya berkaitan dengan beberapa pemindahan dana yang dipersoalkan.

Menurut portal itu, ia akan menerbitkan maklumat lanjut daripada laporan Ketua Audit Negara pada hari-hari akan datang.

Mengulas lanjut, Husam berkata adalah tidak wajar rakyat negara ini dinafikan hak untuk mengetahui kedudukan tentang kepentingan negara serta kehilangan wang negara yang sebegitu besar jumlahnya.

“Adakah wajar, kerana satu makhluk bernama PM, seluruh negara bernama Malaysia perlu dinafikan hak untuk mengetahui kedudukan tentang kepentingan negara mereka demi mengelakkan tindakan ke atas pihak yang telah melakukan dosa ke atas seluruh rakyat?” soalnya.

- mkini



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP